Friday 28 November 2014

Usrah: Bagus ke Tak Bagus?


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Gambar hiasan (Sumber)
1. Usrah ialah perkataan Arab yang bermaksud keluarga.

2. Usrah kita yang pertama ketika kita dilahirkan ke muka bumi ialah keluarga kita, maka taatilah ibu bapa kita kerana dalam Surah al-Baqarah ayat ke-83 misalnya, selepas Allah SWT perintahkan untuk beribadah hanya kepada Allah SWT, perkara yang disebut sejurus selepas perintah ini ialah perintah berbuat baik kepada ibu bapa!

3. Anak-anak muda perlu ingat, bahawa kita dilarang pergi berjihad TANPA IZIN IBU BAPA, dan ini termasuklah menyahut seruan 'jihad' yang menggunakan nama ISIS (Islamic State of Iraq and Syria).

4. Saya akan sambung lagi tentang ISIS kemudian (di bawah nanti).

5. Sebelum saya sentuh tentang usrah, izinkan saya nukilkan beberapa nasihat dan tidak kurang juga amaran kepada anak-anak muda yang bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam aktiviti dakwah dan agama.

6. Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda ertinya:

"Jika ada seseorang berkata: "Orang ramai (sekarang ini) sudah rosak", maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka".
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Catatan: Sila rujuk huraian 'alim ulamak tentang (pemahaman sebenar) hadis ini di sini.

7. Syeikh Hamza Yusuf hafizhohullah memetik satu hadis Rasulullah SAW ertinya:

"Kebinasaan umatku akan berlaku di tangan anak-anak muda yang jahil."

8. Beliau juga menyebut, ertinya:

"Anak-anak muda (yang menggunakan) Google- mereka ini (pula yang) menguruskan agama kita. Mereka yang mengeluarkan fatwa sekarang."

9. Kalam-kalam di atas perlu difahami dan dihayati dengan baik oleh setiap anak muda, sama ada yang menyertai usrah, mahupun tidak.

10. Di negara kita amnya, dan dalam kalangan pelajar-pelajar di universiti khususnya, usrah atau 'bulatan gembira' bukanlah sesuatu yang baru atau asing.

Buku ini diterbitkan oleh Pelima Media Sdn Bhd
11. Justeru, wadah ini mesti digunakan dengan cara yang baik, dan bukan sebagai penambah kerosakan kepada kemaslahatan umat Islam.

12. Antara lain, kumpulan usrah mesti mempunyai rujukan dan sumber yang baik dalam hal perkongsian dan penyampaian ilmu, yakni para asatizah yang mahir ilmu agama.

13. Jika usrah dilaksanakan mengikut panduan akal semata-mata, atau mengikut kehendak ketua atau ahli usrah sahaja, terutama dalam soal memahami Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW, dikhuatiri ia membawa kepada kerosakan yang buruk padahnya.

14. Ahli-ahli usrah yang mengikuti usrah, atau merancang untuk mengikuti usrah, sebaiknya memerhatikan hal ini sebaiknya, dan mendapatkan pandangan mereka yang lebih 'arif.

15. Memetik nasihat Syeikh Hamza Yusuf lagi, betapa banyak kelompok-kelompok sesat di dunia ini bukanlah golongan yang meninggalkan Al-Quran dan Sunnah, tetapi mereka ini, dalam memahami kedua-dua sumber utama agama itu, telah salah faham atau salah tafsiran (kerana tiada ilmu dan kelayakan).

16. Atas faktor inilah saya menyebut tentang ISIS di atas, dan izinkanlah saya akhiri bingkisan ringkas ini dengan beberapa pautan (links) yang penting mengenainya (ISIS).

17. Pada tanggal 26 November baru-baru ini, negara kita menerusi persidangan Dewan Rakyat telah meluluskan usul 'Kertas Putih' yang bertajuk 'Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (ISIS)' yang menjelaskan tentang bahaya ISIS dan tahap ancaman kepada keselamatan negara. Rujuk di sini.

18. Dalam satu wawancara (pautan di sini) bersama-sama Mufti negeri Kelantan dan Mufti negeri Pahang, ditegaskan supaya kita tidak dipengaruhi golongan Orientalis dalam memahami istilah 'jihad' dengan fahaman sempit yakni peperangan suci atau 'Holy War' padahal konsep jihad dalam Islam sangat luas.

19. Orang-orang muda jangan cepat mengikut emosi, merasa marah dengan keadaan umat Islam di luar negara, lalu berazam mengangkat senjata, tanpa ilmu dan usul periksa, sehingga ada yang saling membunuh sesama umat Islam, atau orang-orang awam yang tidak berdosa.

20. Dalam wawancara bersama mufti tersebut, dijelaskan bahawa selain izin ibu bapa, izin daripada pemerintah juga perlu, selain BANYAK syarat-syarat lain yang mesti dipenuhi sebelum boleh keluar berjuang di jalan Allah.

21. Tiga lagi rujukan yang saya ingin syorkan adalah (i) surat terbuka kepada pemimpin ISIS daripada 126 orang 'alim ulamak serta ahli 'ilmu dari seluruh dunia yang menghuraikan 24 kesilapan ISIS, (ii) rakaman video khutbah tentang 'Krisis ISIS' oleh Syeikh Hamza Yusuf dan (iii) rakaman audio bertajuk 'What is ISIS' oleh Dr Khalid Yahya Blankinship hafizhohullahu ta'ala.


22. Sebagai penutup, berkait tentang usrah dan orang-orang muda- mesej yang cuba saya sampaikan adalah supaya kita tidak terburu-buru, sebaliknya berhati-hati dalam memahami agama kita yang indah ini.

23. Buat yang mengikuti usrah, mungkin jauh kebarangkalian untuk terjebak ke dalam aliran pemikiran yang melonggarkan syariat seperti menghalalkan perkara yang haram (contohnya minum arak) tetapi berhati-hatilah daripada tergelincir menyempitkan agama sehinggakan merasa diri lebih baik daripada orang lain, atau yang lebih ektrim, menganggap Muslim lain (awalnya sesat atau rosak, kemudian) kafir sehingga menghalalkan darah mereka. Wal 'iya zubillah.

Wamaa taufiqi illaa billaah. Wallahua'lam.

P/S: Artikel ini cuba dikupas seringkas boleh, dan bukan berniat menidakkan kepentingan usrah. Sebaliknya, dibangkitkan beberapa isu yang penulis rasakan relevan dan perlu diambil perhatian. Mohon teguran di mana ada kesilapan. Jazakumullahu khayran kasira.

0 comments:

Post a Comment