Saturday 25 April 2020

Buah Ramadhan


Bismillah.

1. Saya bukan mahir bertani tapi kita semua tahu bahawa untuk mendapat buah dan merasai kemanisan, perlu kita cari biji benih, menanamnya serta menjaganya, sehinggalah tumbuh pohon dan pokok lantas berbunga ia dan mengeluarkan buah.

2. Biji benih yang dimaksudkan adalah ilmu dan amal serta keikhlasan insya Allah.

3. Justeru saya kongsikan di bawah beberapa bahan ilmu yang boleh dimanfaatkan supaya Ramadhan tahun ini 1441 Hijrah tidak berlalu dengan hanya berlapar dan dahaga.

Sumber gambar

A. DOKUMEN PDF

i. Ramadhan dan Penyucian Jiwa (muat turun)

Artikel ini adalah terjemahan pihak Akademi Kajian Ketamadunan (AKK) Ia asalnya merupakan sebahagian daripada kandungan buku Purification of the Heart oleh Shaykh Hamza Yusuf.

ii. Nota Poket Ramadhan (muat turun)

Nota ini disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

iii. Panduan Solat Terawih 20 Rakaat (muat turun)

Karya ini ditashih oleh Tuan Guru Syeikh Ibrahim Masran Al-Banjari dan dikeluarkan oleh Pondok Sedenak, Johor Darul Ta'zim.

iv. Panduan Solat Terawih JAKIM (muat turun)

Karya ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

B. RAKAMAN PENGAJIAN

i. Kitab Fathul Mu'in (Bab Puasa- 22 Siri)

Pengajian ini dibimbing oleh Maulana Ahmad Lutfi Muharam dan boleh dilihat di sini.

ii. Kuliah Ringkasan Fiqh Puasa (Majalah Q&A)

Pengajian ini dibimbing oleh Ustaz Muhadir Hj Jol dan boleh dilihat di sini.

iii. Kitab Marhaban Ya Ramadhan

Pengajian ini dibimbing oleh Ustaz Bashir al-Azhary dan Ustaz Hazim Haznan. Sesi kedua (saya tak jumpa sesi pertama) boleh dilihat di sini.

4. Insya Allah jika ada kelapangan saya akan tambahkan lagi bahan lain dari semasa ke semasa.

5. Mohon kalian semua doakan saya dan keluarga serta ayuh kita amalkan Zikir Ramadhan di poster berikut, terutamanya setiap kali menunggu masuk waktu berbuka puasa. Jika ingin mendengar zikir ini dibaca silakan tekan pautan ini.


WAllahua'lam.


Baca Teks Penuh

Saturday 18 April 2020

Muhammad


Bismillah.

(Hantaran (post) ini masih dalam proses suntingan kerana kajian dan pengumpulan data sedang berjalan dan belum selesai)

1. Penulisan ini saya dedikasikan kepada cahaya mata pertama kami, yang telah kami namakan Muhammad Aysar (محمد أيسر), dan kami panggil beliau Muhammad.

2. Sedikit catatan tentang pemilihan nama ini di sini.


3. Pastinya nama Muhammad adalah sempena nama Nabi kita Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttholib  صلى الله عليه وسلم.

4. Kami juga ingin mengambil berkat ramai dalam kalangan ulama yang nama mereka ialah Muhammad. Contohnya:

(a) Imam al-Sanusi, nama beliau Muhammad bin Yusuf

(b) Imam al-Shafie, nama beliau Muhammad bin Idris

(c) Imam al-Ghazali, nama beliau ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad

(d) Imam Bukhari, nama beliau ialah Muhammad bin Ismail

(e) Imam Tirmidzi, nama beliau ialah Muhammad bin Isa

(f) Imam Ibnu Majah, nama beliau ialah Muhammad bin Yazid

(g) Pengarang matan terkenal Bahasa Arab Ajurrumiyyah, Muhammad bin Daud

(h) Al-Khawarizmi, pengasas algorithm pula nama beliau ialah Muhammad bin Musa

(i) Imam Fakhruddin al-Razi, nama beliau Muhammad bin Umar

(j) Muhammad ibn Arafah al-Dusuqi

(k) Muhammad Zahid al-Kawthari

(l) Muhammad Yasin al-Fadani

(m) Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Abu Mansur al-Maturidi

(n) Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani

(o) Muhammad Said Ramadan al-Buti

(p) Muhammad bin Zakariyya al-Razi, tokoh perubatan abad ke-9

(q) Muhammad bin Abi Bakr al-Mar'ashi pengarang Risalah Waladiyyah dalam Adab al-Munazarah

3. Dan ramai lagi.

Surah al-Baqarah ayat 31

WAllahua'lam.
Baca Teks Penuh

Kitab Aqidatul Awwam: Sifat Wahdaniyyah


Bismillah.

"وقائم غني وواحد وحي"

1. Alhamdulillah sambungan mengaji dengan anak dan isteri hari ni sampai ke sifat Wahdaniyyah Allah yakni ertinya Esa.


2. Daripada kitab Jalaul Afham Syarah Aqidatul Awwam (belah atas kiri), sifat Esa Allah adalah Esa pada Zat-Nya, Esa pada sifat-Nya serta Esa pada perbuatan-Nya.

3. Esa ertinya tidak berbilang-bilang (عدم التّعدد) dan Esa-Nya Zat Allah Ta'ala dilihat dari dua sudut atau makna.

4. Pertama, bahawa Zat Allah BUKANLAH gabungan daripada bahagian-bahagian, yakni TIDAK seperti kita manusia yang terdiri daripada anggota-anggota, boleh dikerat-kerat.

5. Kedua, bahawa Zat Allah itu tidak ada langsung yang sama dengannya dari kalangan makhluk, yakni bukan seperti seorang manusia yang sama seperti manusia lainnya.

6. Saya cadangkan para pembaca untuk mengukuhkan ilmu fardhu 'ayn khususnya dalam bab aqidah melalui kitab syair (nazham) yang sungguh barokah ini yang boleh dicari matan atau teksnya (Google) serta syarahannya oleh Ustaz Nazrul Nasir حفظه الله contohnya di pautan berikut.

7. Selepas kali pertama berkongsi tentang kitab ini hari tu alhamdulillah Ustaz Mohamad Naim Asy-Syafi'e حفظه الله menyebut tentang keberkatannya dan alhamdulillah kemudian Ustaz Abdul Razak Abdul Rahman حفظه الله pula berkongsi tentang karya syarahan Ulamak Melayu asli (yakni bukan terjemahan) sehingga kami membeli ia seperti dalam gambar (belah atas kanan).

WAllahua'lam.

اللهم فقهنا في الدين وعلمنا التأويل آمين ❤

Nota kaki tambahan:

Dalam Kitab Risalah Kifayatul Mubtadiy (bawah kanan) yang sempat saya mengaji dengan Tuan Guru Zulkifli Suhaimi حفظه الله di MATIS pada 5 tahun lepas sempena awal bulan Muharram, poin ke-4 di atas disebut tidak ada kam muttasil (كم متصل), manakala poin ke-5 di atas disebut tidak ada kam munfasil (كم منفصل) pada Zat Allah Ta'ala.
Baca Teks Penuh

Aqidatul Awwam Pada Malam Pertama Sha'ban


Bismillah.

Nota: Hantaran (post) ini asalnya dibuat di Instagram saya di sini.

1. Alhamdulillah setelah seminggu perintah kawalan pergerakan, baru malam ni dapat mula majlis ilmu dengan Mami dan Muhammad di rumah.


2. Kami mulakan dengan dua bait pertama daripada syair aqidah yang dinamakan Manzhumah Aqidatul Awwam ini.

أبدأ بسم الله والرحمن
وبالرحيم دائم إحسان

3. Selain sedikit perbincangan tentang beza antara nama (إسم) dan empunya nama (مسمى), kami juga berbincang tentang beza antara Allah sebagai Wajib al-Wujud dengan makhluk selain-Nya sebagai Mumkin al-Wujud.

4. Akhir sekali kami bincang satu kaedah menarik dalam memahami beza makna nama Allah al-Rahman dan al-Rahim.

زيادة المبنى تدل على زيادة المعنى

5. Mudahnya, lagi banyak huruf dalam ejaan kalimah, lagi luas makna kalimah itu.

6. Kalimah Rahman mempunyai bilangan huruf lebih banyak daripada Rahim.

7. Maka dari segi makna, al-Rahman adalah kasih sayang Allah kepada seluruh makhluk, sama ada Muslim atau bukan Muslim.

8. al-Rahim pula adalah kasih sayang Allah yang khusus untuk orang beriman sahaja.

9. Kelihatan Muhammad tidak kurang semangatnya.


10. Semoga Allah bantu kita mendapat hikmah atas apa yang sedang berlaku dan hidupkan majlis ilmu dalam keluarga kita. Amin.

WAllahua'lam.


P/S:

1. Boleh cari teks Arab mahupun terjemahan Melayu bagi syair ini di Google.

2. Untuk belajar pulak, boleh lihat rakaman video di YouTube di sini oleh para ilmuwan kita pun ada seperti Ustaz Nazrul Nasir حفظه الله.

3. Alhamdulillah jumpa rakaman pengajian bersama Shaykh Usamah al-Azhari حفظه الله tentang kaedah di atas dalam sharah kitab فتح الرحمن على لقطة العجلان. Boleh dilihat di sini.
Baca Teks Penuh

Wednesday 15 April 2020

Tujuan Berkarya


Bismillah.

1. Di dalam buku beliau, 'Aqal, Ilmu & Pendidikan, Kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah', pada Bab 11 muka surat 50, Dr Mohd Zaidi Ismail menyenaraikan tujuh tujuan menulis sesuatu karya ilmiah secara yang bertanggungjawab iaitu:

Pertama, mengutarakan sesuatu yang asli,

Kedua, menyelesaikan atau melengkapkan sesuatu yang belum lengkap,

Ketiga, memperbaiki sesuatu yang dilihatnya salah,

Keempat, menjelaskan dan menghuraikan sesuatu yang rumit dan sukar,

Kelima, meringkaskan karya seseorang yang terlalu panjang tanpa menghilangkan perkara-perkara yang penting,

Keenam, mengumpulkan pelbagai masalah dan perbincangan yang berselerakan dalam bidang ilmu tertentu, dan

Ketujuh, menyusun dan mengemaskinikan perbahasan dalam sesuatu bidang ilmu atau karya yang tidak teratur.

2. Kesemua senarai ini diambil daripada tulisan-tulisan ilmuwan Islam sepanjang zaman seperti Ibn Hazm, Ibn Khaldun, Hajji Khalifah (Katib Celebi) dan Siddiq bin Hasan Khan al-Qinnawji.

Gambar buku yang saya sebut tadi (warna biru, atas kanan). Sumber gambar.
3. Karya Dr Mohd Zaidi sememangnya kaya dengan maklumat penting dan menarik tentang aqal, dan setelah membaca kesemua tiga karya beliau seperti dalam gambar di atas, saya bercadang melengkapkan pembacaan dengan karya keempat (atas kiri), yang turut memuatkan karya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah dan Dr Mohd Farid Shahran.

4. Dalam karya lain seperti 'Aqal Dalam Islam' (bawah kanan), beliau menjelaskan tentang kesepaduan sumber ilmu antara aqal dan naqal (al-Quran dan Sunnah).

5. Penjelasan ini menampilkan tamsilan Imam al-Ghazali yang sangat menarik, antaranya seperti berikut:

"...aqal itu umpama penglihatan sedangkan shara' itu bagai cahaya yang meneranginya..."

"....shara' itu aqal daripada luar (diri) manakala aqal itu shara' daripada dalam (diri)..."

6. Perumpamaan yang mudah lagi jelas menunjukkan bagaimana aqal dan naqal kedua-duanya perlu dimanfaatkan secara seimbang tanpa memberatkan salah satunya, seperti sesetengah kelompok seperti ahli falsafah yang sesat serta sebahagian yang mengaku ahli hadis.

7. Sebagai penutup, saya nukilkan juga huraian Dr Mohd Zaidi Ismail berkaitan poin ke-6 atas, bagaimana Ahli Sunnah wal Jamaah bersifat wasat yakni adil-beradab berbanding dengan kelompok yang melampau:

"Misalnya, antara yang melampau dalam menobatkan cuma aqal sebagai sandaran ilmu dan keyakinan sebagaimana yang dipegang oleh sekelompok ahli falsafah dan melampau dalam bersandarkan hanya riwayat dan naqal untuk memperoleh ilmu yang pasti sepertimana yang kelihatan pada segelintir para ahli hadis tegar."

WAllahua'lam.
Baca Teks Penuh