Wednesday 26 February 2020

Perihal Yaqin (Bahagian 1)

Bismillah.

1. Dalam Islam, terdapat beberapa istilah yang menggambarkan tahap sesuatu itu diterima sebagai kebenaran (verification of truth) yang juga dibincangkan dalam bidang epistemologi seperti yang telah saya singgung sedikit di sini.

2. Pertama adalah jahil, yang ertinya langsung tidak tahu.

3. Kedua, dinamakan syak (شك), daripada kalimah bahasa Arab dan merujuk kepada tiada kepastian. Orang Melayu mungkin lebih sinonim dengan frasa syak wasangka. Pada fikiran saya, perkataan wasangka itu adalah gabungan antara wa dan sangka.

3. 'Wa' dalam bahasa Arab ertinya 'dan' manakala sangka pula adalah sekadar dugaan (yakni telahan atau estimation, bukan dengan maksud ujian atau test) dan jika betul fahaman saya, maka syak wasangka agaknya bermaksud syak dan sangkaan/dugaan.

4. Walaupun kedua-dua istilah itu (yakni syak dan sangkaan) seakan sama, tapi sangkaan atau dugaan apabila diperhalusi mempunyai maksud yang berbeza dan kalimah zhon (ظن) digunakan dalam bahasa Arab untuknya. Ini adalah istilah ketiga. 

Ulangkaji istilah:(1) jahil, (2) syak (3) sangkaan atau zhon

5. Akhir sekali, istilah keempat dan terakhir, yang menjadi LAWAN (opposite) kepada jahil, syak dan zhon adalah yakin (يقين).

6. Jika dibuat kira-kira dengan nombor, untuk membantu kefahaman, bolehlah dikatakan jahil itu 0%, syak itu 50%, zhon itu lebih daripada 50% manakala yaqin pula adalah 100%.

7. Dari sini, perlu kita nyatakan dengan jelas bahawa kewujudan Allah sebagai Tuhan mesti diyakini, bukan sekadar sangkaan atau syak.

8. Ertinya jika kita beriman bahawa Allah Ta'ala itu wujud, tapi kita fikir terdapat 1% kemungkinan (probability) mungkin Dia tidak wujud, ini ertinya belum mencapai tahap yakin dan ini bahaya kerana aqidah yang sah mestilah pada tahap 100% yakin.

9. Sebagai penutup, suka saya sebut beberapa lagi perkara.

10. Pertama, aqidah kita jika ingin pastikan ia sah, mestilah terhimpun padanya tiga syarat yang mana salah satunya adalah yakin dengan putus (100%). Syarat yang lain akan dibicarakan kemudian (Bahagian 2).

11. Yakin juga, seperti yang dihurai oleh Imam al-Ghazali, boleh dipecah tiga lagi, yang akan saya kongsikan kemudian.

12. Demikian juga jahil telah dibahagikan kepada dua jenis kejahilan, dan akan dihurai nanti.

13. Sebenarnya selain syak dan zhon, ada satu lagi istilah iaitu waham (kurang daripada 50%) tapi tidak saya sebut lebih awal di atas.

Sumber

14. Penulisan ini terhasil setelah saya membaca bahagian Pendahuluan buku Prof. al-Attas bertajuk 'Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam' buat kali ke-3 (kali kedua pada tahun 2016).

15. Untuk itu ingin saya nukilkan sedikit apa yang dibicarakan oleh Prof. al-Attas sebagai tatapan dan mudah-mudahan bermanfaat buat kita semua.

WAllahua'lam.

"...Ketibaan pada kebenaran itu sebenarnya datang dari hidayah, bukan dari shak. Shak adalah keadaan hati yang teragak-agak tiada menentu antara dua perkara yang bertentangan dan yang hati itu tiada memberat menyebelahi mana-mana satu antaranya kedua;....."
-Prof. Naquib al-Attas, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu
Baca Teks Penuh

Monday 24 February 2020

Doa Mustajab di Malam Rejab


Bismillah.

1. Salah satu malam yang mustajab doanya adalah pada malam awal Rejab iaitu bermula Maghrib pada hari ini, 24 Februari 2020.

2. Ia termasuk salah satu daripada 5 malam sebagaimana dinuqilkan daripada Imam al-Shafie rahimahuLlah.

Sumber
3. Sempena masuknya bulan Rejab ini, saya terjemahkan antara amalan pada bulan Rejab yang saya ambil daripada nasihat Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz hafizhohuLlah di Facebook Muwasola.

Pertama, memperbanyakkan istighfar dan bertaubat sesungguh-sungguhnya.

Kedua, ikhlaskan diri untuk mendekati Allah dengan melaksanakan perintah Allah serta meninggalkan larangan-Nya.

Ketiga, muhasabah dan memperbaik diri serta berusaha mencontohi Nabi sollAllahu alayhi wasallam dalam setiap perbuatan.

Keempat, memperbaik kualiti solat dengan memenuhi perkara yang disunnahkan serta menghadirkan khusyuk dalam solat. Sentiasa berusaha untuk solat berjemaah dan mendapatkan takbir pertama bersama-sama Imam.

Kelima, memperbaik hubungan dengan al-Quran dengan menambahkan pembacaan, merenung maknanya serta beramal dengannya.

Keenam, berterusan istiqamah dalam zikir dan doa pada waktu pagi dan petang, seusai solat mahupun dalam setiap keadaan (makan, tidur dan lain-lain).

Ketujuh, memperbaik hubungan dengan ahli keluarga, sahabat, sanak saudara, jiran tetangga dan hamba-hamba Allah yang lain umumnya, serta para Wali-Nya khususnya.

Kelapan, berpuasa sunat setakat kemampuan terutamanya pada hari Isnin dan Khamis serta hari-hari putih (13,14 dan 15 hari bulan Hijrah).

Kesembilan, menginfaqkan sebahagian harta dan sehabis baik membantu golongan yang memerlukan serta melayan mereka dengan baik.

Kesepuluh dan terakhir, beribadah kepada Allah pada malam-malamnya khususnya pada waktu akhir malam. Perbaiki keadaan diri supaya termasuk dalam golongan yang dipuji oleh Allah Ta'ala di dalam al-Quran yakni mereka yang menginfaqkan harta serta memohon keampunan pada waktu akhir malam.

4. Selain amalan di atas, juga saya kongsikan doa (audio) untuk kita baca sebagaimana rakaman suara Habib Umar di sini.

5. Terdapat juga satu risalah amalan di bulan Rejab yang sangat bermanfaat serta boleh dimuat turun secara percuma di sini. Ia susunan Ustaz Muhadir Joll hafizhohuLlahu.

6. Akhir sekali, berikut adalah selawat yang boleh kita sama-sama amalkan pada bulan Rejab.

WAllahua'lam.

Sumber
Baca Teks Penuh

Thursday 20 February 2020

Epistemologi- Satu Catatan Santai

Bismillah.

1. Kewujudan (existence) adalah satu perkara yang saya fikir sangat mendasar (fundamental) dan akhirnya (ultimately), kewujudan Tuhanlah perkara yang paling penting dan perlu kita pastikan dengan yaqin (certainty).

2. Untuk kita umat Islam, kewujudan Tuhan yakni Allah adalah wajib (mesti) pada aqal.

3. Kewujudan yang lain pula adalah mumkin (possible), dan maksud 'yang lain' di sini adalah semua dan segala-galanya selain Allah. Maksud mumkin pula adalah boleh jadi ada dan boleh jadi tiada.

4. Maka di sini, perlu difahami pula beza antara kewujudan sesuatu dengan menyedari akan kewujudan tersebut.

5. Di sinilah perbincangan mengenai epistemologi menjadi perkara yang menarik minat saya.

6. Ringkasnya, epistemologi antara lain membincangkan tentang sumber atau saluran ilmu, yakni dari mana kita mendapat ilmu, contohnya tentang kewujudan sesuatu. Ertinya, bagaimana menyedari bahawa sesuatu itu wujud (poin ke-4).

7. Contohnya, saya tahu kewujudan sebatang pokok apabila saya lihat dengan mata. Atau kewujudan suara seorang penyanyi apabila telinga saya mendengarnya, atau kewujudan bau wangi apabila hidung saya mengesannya.

8. Di sini, kewujudan (i) pokok, (ii) suara penyanyi dan (iii) bau wangi dapat saya sedari kewujudannya melalui sumber yang dinamakan pancaindera yakni mata, telinga dan hidung.

9. Dalam Islam, diperincikan bahawa pancaindera ini adalah pancaindera yang sejahtera. Lidah dan kulit, jika tak silap saya adalah dua lagi contoh pancaindera.

10. Dan dalam Islam juga, selain pancaindera yang sejahtera, dua lagi saluran atau sumber ilmu adalah aqal yang sihat serta perkhabaran yang benar. Lain kali baru saya cerita panjang lagi.

Antara rujukan yang sangat bermanfaat tentang epistemologi. Sumber gambar.

11. Apa yang ingin saya tekankan di sini adalah, jika sifat sesuatu yang wujud itu berbeza, maka berbeza jugalah saluran untuk menggapai (perceive) kewujudannya.

12. Jika seseorang yang pekak sejak lahir, tidak kiralah tajam macam mana pun mata dan penglihatan dia, dia tak akan dapat pastikan kewujudan suara atau bunyi kerana mata tidak dapat 'melihat' bunyi!

13. Demikian juga orang yang hilang penglihatan sejak lahir, tidak kiralah kuat hebat macam mana pun pendengarannya, dia tak akan dapat 'mendengar' warna merah, kuning mahupun biru kerana kewujudan warna hanya dapat digapai melalui penglihatan, bukan pendengaran!

14. Bila kita sedar hakikat ini, maka boleh saya akhiri dengan dua kesimpulan penting.

15. Pertama, the absence of evidence is not the evidence of absence

16. Jika kita tiada bukti sesuatu itu wujud, itu bukan semestinya bukti bahawa ia memang tidak wujud. Sebaliknya, mungkin kerana kita tersilap menggunakan saluran, ataupun kita tiada saluran untuk mengetahui akan kewujudan sesuatu itu!

17. Kedua, pengajaran secara ringkas, saya fikir seorang Muslim yang faham epistemologi akan faham lebih baik kenapa kita tidak menafikan kewujudan Allah walaupun kita tak nampak Allah dengan mata kasar kita.

WAllahua'lam.
Baca Teks Penuh