Tuesday 23 January 2024

Adab Belajar

Bismillah.

 1. Alhamdulillah khatam kitab ke-2 tahun ini sempena persediaan bermula kelas baru ACCA pada minggu depan.

 2. Khatam ini kali kedua selepas kali pertama pada tahun 2021.

 3. Boleh juga kata kali ke-3 khatam melalui rakaman bersama penyusun sendiri, Dr Ayman al-Akiti حفظه الله yang membaca matan serta terjemahan serta syarah pendek beliau. Boleh tonton di sini:

 https://www.youtube.com/watch?v=SxRsmG1VMO4&list=LL&index=3

 4. Kitab syarah tanbih (تنبيه) ini boleh dikatakan zubdah (زبدة) atau intipati daripada kitab terkenal Imam al-Zarnuji رحمه الله yang lebih panjang, dan tanbih ini juga selain lebih ringkas, ia dalam bentuk nazam (poem) dan ada juga tambahan isi lain.

 5. Banyak adab belajar yang disentuh bahkan diabaikan oleh penuntut ilmu sehingga tidak terhasil ilmu atau tak dapat ilmu bermanfaat.

 6. Antaranya adalah tentang kewajaran mengagungkan atau menghormati guru, sebagaimana yang dinukil dan dirujuk daripada Imam besar seperti Imam al-Nawawi dan al-Hafiz al-Suyuti, sehinggakan karya Dr Ayman ini dinamakan syarah (commentary) dan juga توثيق kerana meletakkan rujukan daripada kitab-kitab muktabar.

 7. Akhir sekali saya kongsikan di sini enam syarat atau perkara yang MESTI ada bagi penuntut ilmu, sebagaimana kata Imam al-Shafie رحمة الله عليه.


Pertama:

Kecerdikan

Kedua:

Gemar untuk dapatkan ilmu

Ketiga:

Biaya menuntut ilmu

Keempat:

Bersabar

Kelima:

Petunjuk seorang guru

Keenam:

Menempuh waktu yang lama


8. Perkara keenam adalah antara perkara yang ditinggalkan ramai pada zaman yang semua benda nak cepat sekarang.

9. Semoga permulaan tahun baru ini menjadi permulaan kepada saya untuk terus belajar adab belajar dengan betul dan berkesan, khususnya sebagai seorang pelajar dan pensharah.

"When one teaches, two learn."

10. Semoga berkat masuknya malam Rejab apabila masuknya Maghrib malam ini juga, Allah mengampunkan dosa kita semua dan panjangkan umur kita untuk bertemu Ramadhan.

Amin ya Rabbal 'alamin.

WAllahua'lam.

PS: Maaf lupa. Bila sebut berapa kali khatam, bukan nak kata hebat, tapi nak tekankan bahawa perlunya mengulang-ulang bacaan buku yang baik dan bermanfaat lagi-lagi bab adab, akhlak dan tasawwuf sebagai peringatan berterusan buat yang selalu lalai-lupa seperti saya 🙏🏽

Baca Teks Penuh

Thursday 11 January 2024

Isaghuji (Bahagian 1)


Bismillah.

1. Pada sesi ke-2 pengajian matan (teks) dalam Mantiq peringkat pemula (beginner, مبتدئ) melalui rakaman percuma di Seekers Guidance di bawah bimbingan Shaykh Ahmed al-Azhary حفظه الله, beliau menjelaskan satu bahagian matan yang bagi saya sangat bermanfaat.

أوردنا فيها ما يجب استحضارها

".... kami nyatakan di dalamnya (risalah mantiq ini) apa yang WAJIB dikemukakan (dijadikan hadir)..."

2. Lalu Shaykh bertanya wajib di sini wajib apa? Adakah wajib syar'ie?

3. Terus teringat lagi dua hukum yang disebut dalam kitab Imam al-Sanusi iaitu al-Muqaddimat lalu bertanya juga di dalam hati adakah mungkin wajib 'aqliy atau wajib 'ādiyy?

4. Lalu Shaykh memberi jawapan ia adalah الوجوب الصناعي yang beliau sebut dalam bahasa Inggeris dengan 'technical obligation'.

5. Dari situ juga teringat beza antara واجب dengan وجوب dan tentang pentingnya belajar bahasa Arab serta memahami istilah yang pengarang gunakan apabila membaca kitab mereka.

6. Shaykh juga menyatakan bahawa, apabila berkata Imam al-Ghazali "tidak diyakini ilmu orang yang tak belajar ilmu mantiq", bukan bersabit orang lain, tapi kita sendiri sebenarnya, yakni jika kita tak belajar mantiq, kita tak boleh pastikan sama ada ilmu atau pemikiran kita betul atau salah (kerana tiada ilmu alat).

7. Saya fikir, dari sini (by extension), jika pemikiran sendiri pun tak mampu dinilai, apatah lagi pemikiran orang lain?

8. Semoga usaha kerdil ini dapat membantu diri sendiri dan pelajar di kelas saya melatih membangunkan minda dan intelek yang lebih berstruktur dan tersusun dalam mengkaji, membahas dan menyampaikan hujah dan pendapat dalam peperiksaan dan kehidupan.

WAllahua'lam.

رب يسهّل آمين...

PS: Fawaid (فوائد) ialah kata jama' (جمع, plural) kepada perkataan faedah (فائدة).

Baca Teks Penuh

Debat Untuk Menang

 Bismillah.

1. Alhamdulillah buku pertama berjaya khatam tahun ini, tentang ilmu debat, yakni kaedah untuk berdebat.

2. Dalam tradisi ilmu Islam, ia dikenali sebagai adab al-bahs wa al-munazoroh, dan ia merupakan lanjutan atau amali-praktikal kepada ilmu logik atau mantiq.

3. Sejak di sekolah menengah, saya dilatih dalam aktiviti kokurikulum debat ini sehingga alhamdulillah berjaya bersama pasukan bahas MCKK menang pertandingan debat peringkat kebangsaan di UIA Gombak pada tahun 2007 di bawah bimbingan guru dan ibunda kami Cikgu Umi dan bekas pelajar seperti YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi yang akan memulakan siri podcast 'Yang Bakar Menteri' malam ini.

4. Tapi saya lebih berminat dengan satu kelas anjuran RZS-CASIS yang akan berlangsung malam ini juga bertajuk 'An Introduction to al-Baydawi's Tawali al-Anwar' yang akan dibimbing oleh Shaykh Ahmed al-Azhary.

5. Pada pendapat peribadi saya, dalam aktiviti berdebat yang diajarkan di sekolah atau universiti, kaedah memilih side (pihak) untuk menyokong atau menentang sesuatu isu dan untuk menang boleh diteliti semula dan diterbalikkan daripada (a) mendapat kesimpulan sebelum membuat kajian untuk menyokong kesimpulan tersebut kepada (b) membuat kajian dahulu sebelum menghasilkan kesimpulan untuk disokong.

6. Dalam disiplin ilmu Islam, tujuan berdebat bukanlah untuk menang, tetapi sama-sama secara objektif melontarkan hujah dan pendapat sehingga akhirnya bersepakat pada pendapat yang benar (page 36, The Art of Disputation in Islam, IKIM).

7. Juga dalam buku ini (gambar), tujuan mendialogkan perbedaan pandangan adalah untuk mencari kebenaran (ms 276, Ilmu Debat, Keira).

8. Antara azam saya tahun ini insya Allah adalah untuk belajar dan kuasai ilmu-ilmu alat seperti bahasa khususnya bahasa Arab dan mantiq serta ilmu adab bahs wa al-munazoroh supaya dapat menjadi bekalan sebagai seorang pensyarah, pengkaji, pelajar dan paling penting, seorang Muslim yang kritis mencari kebenaran.

WAllahua'lam.

Baca Teks Penuh