Thursday 11 January 2024

Debat Untuk Menang

 Bismillah.

1. Alhamdulillah buku pertama berjaya khatam tahun ini, tentang ilmu debat, yakni kaedah untuk berdebat.

2. Dalam tradisi ilmu Islam, ia dikenali sebagai adab al-bahs wa al-munazoroh, dan ia merupakan lanjutan atau amali-praktikal kepada ilmu logik atau mantiq.

3. Sejak di sekolah menengah, saya dilatih dalam aktiviti kokurikulum debat ini sehingga alhamdulillah berjaya bersama pasukan bahas MCKK menang pertandingan debat peringkat kebangsaan di UIA Gombak pada tahun 2007 di bawah bimbingan guru dan ibunda kami Cikgu Umi dan bekas pelajar seperti YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi yang akan memulakan siri podcast 'Yang Bakar Menteri' malam ini.

4. Tapi saya lebih berminat dengan satu kelas anjuran RZS-CASIS yang akan berlangsung malam ini juga bertajuk 'An Introduction to al-Baydawi's Tawali al-Anwar' yang akan dibimbing oleh Shaykh Ahmed al-Azhary.

5. Pada pendapat peribadi saya, dalam aktiviti berdebat yang diajarkan di sekolah atau universiti, kaedah memilih side (pihak) untuk menyokong atau menentang sesuatu isu dan untuk menang boleh diteliti semula dan diterbalikkan daripada (a) mendapat kesimpulan sebelum membuat kajian untuk menyokong kesimpulan tersebut kepada (b) membuat kajian dahulu sebelum menghasilkan kesimpulan untuk disokong.

6. Dalam disiplin ilmu Islam, tujuan berdebat bukanlah untuk menang, tetapi sama-sama secara objektif melontarkan hujah dan pendapat sehingga akhirnya bersepakat pada pendapat yang benar (page 36, The Art of Disputation in Islam, IKIM).

7. Juga dalam buku ini (gambar), tujuan mendialogkan perbedaan pandangan adalah untuk mencari kebenaran (ms 276, Ilmu Debat, Keira).

8. Antara azam saya tahun ini insya Allah adalah untuk belajar dan kuasai ilmu-ilmu alat seperti bahasa khususnya bahasa Arab dan mantiq serta ilmu adab bahs wa al-munazoroh supaya dapat menjadi bekalan sebagai seorang pensyarah, pengkaji, pelajar dan paling penting, seorang Muslim yang kritis mencari kebenaran.

WAllahua'lam.

0 comments:

Post a Comment