Wednesday 15 April 2020

Tujuan Berkarya


Bismillah.

1. Di dalam buku beliau, 'Aqal, Ilmu & Pendidikan, Kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah', pada Bab 11 muka surat 50, Dr Mohd Zaidi Ismail menyenaraikan tujuh tujuan menulis sesuatu karya ilmiah secara yang bertanggungjawab iaitu:

Pertama, mengutarakan sesuatu yang asli,

Kedua, menyelesaikan atau melengkapkan sesuatu yang belum lengkap,

Ketiga, memperbaiki sesuatu yang dilihatnya salah,

Keempat, menjelaskan dan menghuraikan sesuatu yang rumit dan sukar,

Kelima, meringkaskan karya seseorang yang terlalu panjang tanpa menghilangkan perkara-perkara yang penting,

Keenam, mengumpulkan pelbagai masalah dan perbincangan yang berselerakan dalam bidang ilmu tertentu, dan

Ketujuh, menyusun dan mengemaskinikan perbahasan dalam sesuatu bidang ilmu atau karya yang tidak teratur.

2. Kesemua senarai ini diambil daripada tulisan-tulisan ilmuwan Islam sepanjang zaman seperti Ibn Hazm, Ibn Khaldun, Hajji Khalifah (Katib Celebi) dan Siddiq bin Hasan Khan al-Qinnawji.

Gambar buku yang saya sebut tadi (warna biru, atas kanan). Sumber gambar.
3. Karya Dr Mohd Zaidi sememangnya kaya dengan maklumat penting dan menarik tentang aqal, dan setelah membaca kesemua tiga karya beliau seperti dalam gambar di atas, saya bercadang melengkapkan pembacaan dengan karya keempat (atas kiri), yang turut memuatkan karya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah dan Dr Mohd Farid Shahran.

4. Dalam karya lain seperti 'Aqal Dalam Islam' (bawah kanan), beliau menjelaskan tentang kesepaduan sumber ilmu antara aqal dan naqal (al-Quran dan Sunnah).

5. Penjelasan ini menampilkan tamsilan Imam al-Ghazali yang sangat menarik, antaranya seperti berikut:

"...aqal itu umpama penglihatan sedangkan shara' itu bagai cahaya yang meneranginya..."

"....shara' itu aqal daripada luar (diri) manakala aqal itu shara' daripada dalam (diri)..."

6. Perumpamaan yang mudah lagi jelas menunjukkan bagaimana aqal dan naqal kedua-duanya perlu dimanfaatkan secara seimbang tanpa memberatkan salah satunya, seperti sesetengah kelompok seperti ahli falsafah yang sesat serta sebahagian yang mengaku ahli hadis.

7. Sebagai penutup, saya nukilkan juga huraian Dr Mohd Zaidi Ismail berkaitan poin ke-6 atas, bagaimana Ahli Sunnah wal Jamaah bersifat wasat yakni adil-beradab berbanding dengan kelompok yang melampau:

"Misalnya, antara yang melampau dalam menobatkan cuma aqal sebagai sandaran ilmu dan keyakinan sebagaimana yang dipegang oleh sekelompok ahli falsafah dan melampau dalam bersandarkan hanya riwayat dan naqal untuk memperoleh ilmu yang pasti sepertimana yang kelihatan pada segelintir para ahli hadis tegar."

WAllahua'lam.

0 comments:

Post a Comment