Saturday 18 April 2020

Kitab Aqidatul Awwam: Sifat Wahdaniyyah


Bismillah.

"وقائم غني وواحد وحي"

1. Alhamdulillah sambungan mengaji dengan anak dan isteri hari ni sampai ke sifat Wahdaniyyah Allah yakni ertinya Esa.


2. Daripada kitab Jalaul Afham Syarah Aqidatul Awwam (belah atas kiri), sifat Esa Allah adalah Esa pada Zat-Nya, Esa pada sifat-Nya serta Esa pada perbuatan-Nya.

3. Esa ertinya tidak berbilang-bilang (عدم التّعدد) dan Esa-Nya Zat Allah Ta'ala dilihat dari dua sudut atau makna.

4. Pertama, bahawa Zat Allah BUKANLAH gabungan daripada bahagian-bahagian, yakni TIDAK seperti kita manusia yang terdiri daripada anggota-anggota, boleh dikerat-kerat.

5. Kedua, bahawa Zat Allah itu tidak ada langsung yang sama dengannya dari kalangan makhluk, yakni bukan seperti seorang manusia yang sama seperti manusia lainnya.

6. Saya cadangkan para pembaca untuk mengukuhkan ilmu fardhu 'ayn khususnya dalam bab aqidah melalui kitab syair (nazham) yang sungguh barokah ini yang boleh dicari matan atau teksnya (Google) serta syarahannya oleh Ustaz Nazrul Nasir حفظه الله contohnya di pautan berikut.

7. Selepas kali pertama berkongsi tentang kitab ini hari tu alhamdulillah Ustaz Mohamad Naim Asy-Syafi'e حفظه الله menyebut tentang keberkatannya dan alhamdulillah kemudian Ustaz Abdul Razak Abdul Rahman حفظه الله pula berkongsi tentang karya syarahan Ulamak Melayu asli (yakni bukan terjemahan) sehingga kami membeli ia seperti dalam gambar (belah atas kanan).

WAllahua'lam.

اللهم فقهنا في الدين وعلمنا التأويل آمين ❤

Nota kaki tambahan:

Dalam Kitab Risalah Kifayatul Mubtadiy (bawah kanan) yang sempat saya mengaji dengan Tuan Guru Zulkifli Suhaimi حفظه الله di MATIS pada 5 tahun lepas sempena awal bulan Muharram, poin ke-4 di atas disebut tidak ada kam muttasil (كم متصل), manakala poin ke-5 di atas disebut tidak ada kam munfasil (كم منفصل) pada Zat Allah Ta'ala.

0 comments:

Post a Comment