Saturday 29 November 2014

Menuduh Orang Ramai Telah Rosak


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Sebelum ini, saya ada kongsikan satu hadith di Facebook dan di blog ini (di sini), sebagai satu peringatan buat diri sendiri dan kita semua, kerana saya fikir ia sangat relevan untuk zaman sekarang yang begitu banyak terdapat pertelingkahan di dalamnya.

2. Hadithnya adalah seperti berikut:

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda ertinya:

"Jika ada seseorang berkata: "Orang ramai (sekarang ini) sudah rosak", maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka".
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

3. Izinkan saya berkongsi sedikit penjelasan 'alim ulama' mengenai hadith ini, mudah-mudahan membawa manfaat insya Allah.

4. Dalam kitab beliau, Umdat al-Salik, Ahmad ibn Naqib al-Misri rahimahullah ada mensharahkan hadith di atas yang mana "Ia (yakni hadith itu) bukan secara umum tapi merujuk khusus kepada orang yang senantiasa mencari-cari kesalahan orang."
Sumber: Sidi  Husni Mohd Amin hafizhohullahu ta'ala

(Sumber)
5. Imam Nawawi rahimahullahu ta'ala juga ada penjelasan lanjut tentang hadith ini dalam kitab beliau, Riyadhus-Shalihin yang saya dapati daripada sebuah buku bertajuk '40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman' oleh Syeikh Abu Ali al-Banjari An-Nadwi al-Maliki hafizhohullahu ta'ala.

"Imam Nawawi ra. ketika menulis hadis ini dalam kitab Riyadhus-Shalihin beliau memberikan penjelasan seperti berikut:

"Larangan semacam di atas itu (larangan berkata bahawa orang ramai telah rosak) adalah untuk orang yang mengatakan sedemikian tadi dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini adalah haram".

"Ada pun orang yang berkata seperti ini kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat nasib yang dialami oleh mereka dan timbul perasaan cemburu terhadap agama, maka perkataan itu tidak ada salahnya".

"Demikianlah yang dijelaskan oleh para ulama dan begitulah cara mereka menghuraikan permasalahannya. Di antara alim-ulama yang berpendapat begitu ialah Imam Malik bin Anas, al-Khath-thabi, al-Humaidi dan lain-lain".

6. Berkata pula Syeikh Abu Ali al-Banjari (penulis buku 40 Hadis tadi):

"Maka hendaklah hadis ini menjadi suatu peringatan kepada kita bila menghuraikan hadis-hadis akhir zaman seperti apa yang dituliskan di sini yang banyak mendedahkan tentang kemunduran umat Islam dan kemerosotan moral mereka.

Oleh kerana itu, apabila kita cuba mengaitkan hadis-hadis tersebut dengan realiti umat Islam dewasa ini, maka janganlah kita merasa bangga dan 'ujub dengan diri kita sendiri, bahkan hendaklah kita menegur diri kita masing-masing dan jangan suka menuding orang lain. Jadi, apabila kerosakan moral umat Islam dewasa ini yang diketengahkan, maka biarlah pendedahan itu di dalam bentuk yang sihat dan dengan perasaan yang penuh belas kasihan dan rasa cemburu terhadap agama, bukan dengan perasaan bangga diri dan memandang rendah kepada orang lain."

7. Wallahua'lam. Semoga bermanfaat insya Allah.

0 comments:

Post a Comment