Monday 3 November 2014

Puasa Hari Ashura


Bismillahirrahmanirrahim.

"Sewaktu Rasulullah SAW datang ke Madinah, baginda SAW mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Ashura (10 Muharram). Baginda SAW bertanya kepada mereka kenapa mereka berpuasa, lalu mereka menjawab bahawa pada hari itulah Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa AS dan pengikutnya serta menenggelamkan Fir'aun dan pengikutnya.

Nabi Musa AS berpuasa sebagai tanda syukur kepada Allah SWT dan pengikutnya terus mengamalkan puasa ini selepas Nabi Musa AS.

Nabi Muhammad SAW kemudian memberitahu orang Yahudi bahawa umatnya lebih dekat (layak mengikuti) Nabi Musa AS berbanding mereka.

Lantas Rasulullah SAW pun turut berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan para sahabat untuk berpuasa juga...."

Masjid Nabawi di Madinah al-Munawwarah (sumber)
Catatan saya:

1. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, antara ganjaran berpuasa pada hari Ashura ialah dihapuskan dosa setahun yang lepas.

2. Imam Muslim juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bahawa puasa yang paling afdhal selepas puasa Ramadhan ialah puasa dalam bulan Muharram.

3. Bagi membezakan amalan kita dengan orang Yahudi, umat Islam dianjurkan berpuasa pada 9 dan 10 Muharram (hari Ashura) atau pada 10 dan 11 Muharram, yakni berturutan 2 hari, kerana orang Yahudi hanya berpuasa sehari, pada 10 Muharram.

4. Banyak peristiwa besar yang berlaku pada tarikh ini, antaranya ialah Allah SWT mengampunkan Nabi Adam AS pada hari ini, bahtera Nabi Nuh AS akhirnya berlabuh di gunung yang bernama al-Judi selepas selama 6 bulan di lautan dan Nabi Yunus AS juga mendapat keampunan Allah SWT pada 10 Muharram.

5. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita yang lepas dan juga memberi kita kekuatan untuk menjauhi perkara haram dan melaksanakan yang wajib hingga akhir hayat kita. Amin.

Wallahua'lam.

Untuk pembacaan lanjut, sila rujuk artikel berbahasa Inggeris bertajuk 'The Day of Ashura' di laman web Muwasala di sini.

0 comments:

Post a Comment