Tuesday, 11 April 2017

Bekal Ilmu


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Surah al-Fatihah (Kaligrafi jenis Kufi)

Dalam Kitab Ta'lim Muta'allim yang dikarang oleh Syeikh Zarnuji rahimahullahu ta'ala, disebut bahawa Imam al-Shafi'e rahimahullahu ta'ala menyatakan terdapat ENAM SYARAT dalam menuntut ilmu.

1. Kecerdasan 'aqal
2. Ketekunan dan kesungguhan
3. Kesabaran menghadapi ujian
4. Bekalan kewangan
5. Guru yang memberi petunjuk
6. Masa yang panjang

PUSTAKA MUTA'ALLIM

Saya sedang mengusahakan satu laman di Facebook (pautan) yang bertujuan mempromosi buku-buku dan kutub (kitab-kitab) serta karya-karya yang baik untuk dimiliki dalam usaha kita mencari ilmu bermanfaat.

Dijemput untuk menziarahi jika ada kelapangan ya.

WAllahu Ta'ala A'lam.
Baca Teks Penuh

Friday, 13 May 2016

Program Talaqqi Kitab Aqidatul Awwam


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warohmatullahi wa barokaatuh.

1. Alhamdulillah, Madina Institute Malaysia dengan kerjasama Masjid Seksyen 7 Shah Alam akan memulakan sesi pertama Program Talaqqi Kitab Aqidatul Awwam seperti yang tertera di dalam poster di atas. 

2. Untuk membaca lebih lanjut tentang kitab ini serta pengarangnya, silakan melawat blog Dalail Khairat dan Yayasan Al-Mu'afah.

3. Di laman blog Dalail Khairat tersebut juga terdapat beberapa sumber (resources) lain yang sangat berguna seperti matan dan terjemahan kitab Aqidatul Awwam dalam format pdf. 

4. Matan dan terjemahan ini boleh juga dimuat turun (downloadable) di pautan (link) berikut.


5. Sekian dahulu buat masa ini dan saya mohon doa para pelawat dan pembaca blog ini untuk diri saya yang sangat dhoif lagi faqir mengharapkan keampunan dan rahmat Allah subhanahu wa Ta'ala jua.

WAllahua'lam.

Sya'ban 1437 Hijriah bersamaan 13 Mei 2016
...............................

Bismillah.

Alhamdulillah pengajian ini akan bersambung seperti maklumat dalam poster berikut.

WAllahua'lam.

(Kemas kini pada 14 Muharram 1438 Hijrah bersamaan 14 Oktober 2016)


Baca Teks Penuh

Tuesday, 19 May 2015

Tajwid Ringkas Surah al-Fatihah (Rakaman Audio)


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warohmatullahi wa barokaatuh.

(Sumber)
1. Alhamdulillah, pada malam semalam, 18 Mei 2015 yang merupakan malam pertama bulan Sya'ban, saya sempat membuat sedikit catatan tentang tajwid ringkas setiap ayat dalam Surah al-Fatihah dalam bentuk rakaman suara.

2. Insya Allah, setiap siri rakaman ini akan dikongsikan di sini. Purata setiap satu sekitar 4 minit.

3. Untuk muat turun (download) secara percuma, sila klik pada pautan (link) seperti di bawah.

4. Saya juga sedang usahakan membuat arkib rakaman ini di laman web Sound Cloud dalam bentuk playlist di sini. Semoga bermanfaat insya Allah. 

Wallahua'lam.

Rakaman 1: Muqoddimah

Ringkasan:
-Kepentingan Surah al-Fatihah
-Kelebihan Surah al-Fatihah
-Bacaan Surah al-Fatihah

Rakaman 2: Ta'awwuz

Ringkasan:
-Beza antara huruf Alif (Hamzah) dan 'Ain
-Beza antara huruf Dzal dan Zai
-Kesan pada perubahan maksud jika tersalah sebutan huruf

Rakaman 3: Ayat pertama

Ringkasan:
-Kesilapan meninggalkan sebutan huruf Ba
-Sifat Sofir (desir) pada huruf Sin (dan huruf lain)
-2 Syarat pada huruf bertanda sabdu

Rakaman 4: Ayat ke-2

Ringkasan:
-Syarat bacaan huruf berbaris atas (Fathah)
-Kesilapan bacaan pada huruf Lam sukun (tanda mati)
-Kesilapan pada huruf 'Ain yang dibaca dengan bunyi huruf Alif (Hamzah)

Rakaman 5: Ayat ke-3

Ringkasan:
-Ulangkaji 2 syarat bacaan huruf bersabdu
-Syarat bacaan huruf berbaris bawah (kasroh)
-Syarat bacaan huruf berbaris depan (dhommah)

Rakaman 6: Ayat ke-4

Ringkasan:
-Praktis bacaan huruf berbaris atas
-Praktis bacaan huruf berbaris bawah
-Praktis bacaan huruf yang diikuti huruf waw bertanda mati (sukun)
-Praktis bacaan huruf bertanda sabdu

Rakaman 7: Ayat ke-5

Ringkasan:
-Kesalahan pada bacaan huruf bersabdu yang mengubah maksud ayat
-Ulangkaji perbezaan makhroj dan bacaan huruf Alif (Hamzah) dan huruf 'Ain
-Ulangkaji sifat sofir (desiran) pada huruf Sin

Rakaman 8: Ayat ke-6

Ringkasan:
-Beza makhroj dan bacaan huruf Ha (pedas) dan Ha (simpul/bulat/tebal)
-Kesalahan bacaan huruf Ta dan Qaf pada kalimah al-Mustaqim

Rakaman 9: Ayat ke-7

Ringkasan:
-Ulangkaji sifat sofir (desiran) pada 3 huruf
-Ulangkaji perbezaan antara huruf Dzal dan Zai
-Ulangkaji perbezaan antara huruf Alif dan 'Ain
-Huruf paling susah sebutannya dalam al-Quran
-Cara membaca huruf Dhod dan bezanya dengan huruf Dal
-Mad paling panjang (6 harakat) pada akhir ayat

Rakaman 10: Penutup dan penghargaan

Ringkasan:
-Ucapan terima kasih
-Nama-nama guru rujukan saya
-Cadangan satu susunan wirid yang membaca Surah al-Fatihah berulang-ulang
-Cara menjemput rezeki dengan Surah al-Fatihah

(Sumber)

(Sumber)
(Sumber)

(Sumber)

(Sumber)

(Sumber)
Baca Teks Penuh

Sunday, 19 April 2015

Allah Maha Kaya


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warohmatullahi wa barokaatuh.

Gambar sekadar hiasan (Sumber)
1. Ada kisah seorang raja, setiap tahun akan membuat satu majlis dan memberikan hadiah kepada setiap ahli masyarakat. 

2. Setiap orang boleh minta apa yang dia mahu sebagai hadiah. Namun, ada seorang wanita, setiap tahun tak minta apa-apa.

3. Akhirnya, apabila ditanya raja ini, berkata wanita itu, dia mahu kahwini raja itu!

4. Pandai wanita ini. Orang lain mungkin dapat hadiah. Setiap tahun pula. 

5. Tapi dia kahwini raja. Semua dia boleh minta. Bila-bila masa.

6. Ibarat kitalah. Apapun kita minta daripada Allah, yang lebih besar adalah kita minta nak dekat dengan Allah.

7. Apabila dapat Allah, semua benda dapat insya Allah.

8. Manusia yang kaya adalah mereka yang kaya DENGAN sesuatu (contohnya harta). Ertinya jika diambil kekayaan itu, miskinlah dia, kerana dia bergantung kepada kekayaan itu.

9. Tapi Allah subhanahu wa Ta'ala bukan sahaja kaya dengan segala sesuatu (yakni memiliki segala sesuatu), tetapi Allah juga kaya DARIPADA segala sesuatu.

10. Ertinya, Allah tak bergantung kepada apa jua pun dan siapapun daripada kalangan makhluk-Nya, dan jika setiap daripada kita diberikan seluruh isi bumi dan langit pun, Allah tetap Maha Kaya dan tidak berkurang khazanah milik Allah walaupun sebesar kuman.

Wallahua'lam. Subhanallahi wa bihamdihi subhanallahil 'azhim..
Baca Teks Penuh

Tuesday, 14 April 2015

Zikir 'Menari'


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warohmatullahi wa barokaatuh.


1. Gambar semasa pengajian Majlis Ta'lim Yayasan al-Raha, Seksyen 7 Shah Alam bersama-sama Syeikh Abdullah al-Jahaf, Ustaz Muhammad dan mufti dari Yaman, Syeikh Abdul Qadir al-Bayhani hafizhohumullahu Ta'ala pada hari Sabtu lepas, 21 Jamadilakhir 1436 Hijrah.

2. Sepanjang saya menghadiri majlis para habaib (jamak (plural) kepada habib), saya tak pernah berjoget atau menari, apatah lagi mereka. Apatah lagi nak buat 'break dance'!

3. Tentang zikir sambil menari (menggoyangkan badan ini), Tuan Guru Harun Din hafizhohullahu Ta'ala salah seorang yang ada menulis artikel yang menjelaskan dengan baik beserta dalil.

4. Kalau boleh saya nukilkan pesanan Tuan Guru, agama ini bukan dinilai dengan apa yang kita 'RASA!'

5. Satu contoh yang saya boleh fikirkan ialah bersugi atau bersiwak yang merupakan satu sunnah Rasulullah sollAllahu 'alayhi wa sallam yang besar.

6. Namun, tak dinafikan ada orang yang beRASA tak selesa ketika ada orang bersugi sebelum solat berjemaah. Tapi PERASAAN orang itu tak menjadikan sunnah Rasulullah ini perkara yang haram!

7. "Tapi bersugi lain. Itu Rasulullah buat. Rasulullah menari ke?"

8. Belajarlah agama. Apa yang Nabi tak buat tak semestinya haram. Ini satu salah faham yang mesti dibetulkan.

9. Dalilnya, Nabi pernah dihidangkan dengan dhob (biawak padang pasir) yang dipanggang dan Nabi menolak (tak makan) tapi sahabat yakni Saidina Khalid al-Walid rodhi-Allahu 'anhu makan di depan Nabi dan tak dilarang!

10. Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Bukhori dan Muslim dan sebenarnya banyak lagi dalil lain yang membuktikan bahawa apa yang Nabi tak buat bukan automatik jadi haram (melainkan Nabi sendiri mengharamkan).

11. Ringkasnya, saya cuma ingin mengajak orang awam seperti anda dan saya terutamanya supaya ambil 2 iktibar.

12. Pertama, agama dinilai berdasarkan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas, bukannya apa yang kita RASA.

13. Kedua, kata orang bijak pandai, orang yang sibuk memperbaik diri tak akan ada masa memburuk-burukkan orang lain.

14. Jauhilah daripada kelompok manusia yang banyak menuduh kaum lain sesat, bid'ah dan syirik sebaliknya carilah insan-insan yang membantu kita menambah cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.

15. Golongan pencinta ini adalah para sufi dan ahli tasawwuf. Walaupun ada yang sesat dan menggunakan nama sufi atau tasawwuf, janganlah pukul rata (generalize) semuanya.

16. Jadilah pendakwah, bukan penghukum.

17. Wallahua'lam. Allahul musta'an.

Baca Teks Penuh

Tuesday, 10 March 2015

Pandangan Mata


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warohmatullah.

(Sumber)
1. Syeikh Abdullah al-Jahaf hafizhohullahu Ta'ala pernah berpesan dalam nada berjenaka bahawa syaitan mencantikkan seorang gadis/wanita pada pandangan kita walaupun padahal kepalanya macam bola dan rambutnya macam daun durian.

2. Habib Ali al-Jufri hafizhohullahu Ta'ala juga berpesan bahawa nikmat penglihatan perlu dipelihara dengan baik kerana ia amat besar dan penting.

3. Kenapa? Kerana kita ingin menatap wajah Rasulullah sollAllahu 'alayhi wa sallam yang tiada makhluk lain seindah baginda.

4. Kita juga berharap dapat melihat Allah subhanahu wa Ta'ala pada akhirat kelak, Tuhan yang menciptakan kita semua.

5. Habib Ali berkongsi 3 perkara yang perlu kita jauhkan daripada pandangan kita.

6. Pertama, daripada melihat aurat dengan pandangan nafsu. Kedua, melihat dunia dengan ketakjuban atau membesar-besarkannya dan ketiga, memandang makhluk dengan pandangan kehinaan, sekalipun makhluk itu seorang pelaku maksiat.

7. Semoga Allah melindungi kita daripada khianat pandangan mata dan melindungi kita daripada fitnah al-Masih al-Dajjal yang bermata satu (Manakan mungkin Tuhan itu cacat dan bermata satu!).

Wallahua'lam.

Allahumma solli wa sallim wa baarik 'alayhi wa 'alaa aalih.
Baca Teks Penuh

Tuesday, 3 March 2015

Wahabi (Pseudo-Salafi), Saya, Habaib dan Al-Attas


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warohmatullahi wa barokaatuh.

Pendahuluan

1. Suka saya mulakan dengan memohon agar Allah subhanahu wa Ta'ala mengampuni dosa-dosa saya dan membersihkan hati kita semua. Setinggi-tinggi kesyukuran atas nikmat Islam dan Iman, serta nikmat menjadi umat Rasulullah sollAllahu 'alayhi wa sallam, itulah sebesar-besar nikmat.

(Sumber)
2. Pertamanya, saya ingin mengajak saudara-saudari dan rakan-rakan untuk sama-sama muhasabah dan beringat-ingat, bahawa sebagai orang awam seperti saya, tugas kita bukanlah menilai atau menghukum (to judge) para 'alim ulamak, kerana masakan boleh seorang pesakit datang ke hospital untuk mendiagnos doktor pakar.

3. Kedua, dalam isu Wahabi (atau lebih tepatnya Pseudo-Salafi), keprihatinan utama kita (our main concern) bukanlah siapa yang ingin dilabelkan dengan label Pseudo-Salafi, tetapi kita perlu tahu sifat-sifat dan wataknya yang perlu dijauhi.

4. Antara ringkasan sifat-sifat itu boleh dibaca di sini dan di sini.

Pengalaman saya

5. Secara peribadi, saya pada awalnya cenderung dengan aliran pemikiran begini, kerana ia nampak mudah dan dekat (kononnya) dengan orang awam yang jahil seperti saya.

6. Namun, berkat nasihat dan bimbingan beberapa orang sahabat baik hafizhohumullahu Ta'ala, saya meninggalkan aliran ini dan mengharapkan Allah subhanahu wa Ta'ala terus membimbing saya untuk sentiasa memperbaik diri yang selalu menzalimi diri ini.

7. Bukan sedikit ilmuwan yang terpengaruh dengan aliran ini akhirnya bertaubat dan kembali kepada aliran sebenar Ahli Sunnah wal Jamaah dan perubahan yang mereka lalui adalah kerana dengan Rahmat Allah yang Maha Luas, mereka diketemukan dengan orang yang rasikh lagi mendalam ilmunya.

8. Dengan kata lain, orang yang tinggi inteleknya dan bersih hatinya pasti tidak mahu bersama-sama aliran Pseudo-Salafi ini (dengan izin Allah).

9. Selain itu, mereka banyak menuduh umat Islam melakukan bid'ah, sesat, syirik, kafir dan sebagainya dengan manhaj yang keras dan menghilang padanya elemen rahmat serta kasih sayang, menyebabkan saya sendiri merasakan semakin lama semakin tidak gemar pada mereka.

Justeru, jalan siapa yang ingin diikuti?

10. Alhamdulillah, marilah sama-sama kita mengikuti manhaj para habaib, antara lain seperti yang terzhahir pada kalam Habib Abu Bakr al-'Adni bin Ali al-Masyhur hafizhohullahu Ta'ala mafhumnya, "Jalan kami adalah menjaga lisan dari mencela dan menjaga tangan dari darah orang lain."

11. Sebelum saya terlupa, kita sewajarnya bersyukur kerana di bumi Nusantara ini, kita mempunyai rangkaian ulamak tempatan yang cukup hebat lagi bersambung sanad ilmu dan hikmahnya kepada Rasulullah sollAllahu 'alayhi wa sallam.

12. Jika dapat saya sebut beberapa orang yang alhamdulillah masih ada bersama-sama kita dan pernah saya hadir majlis mereka ialah:

(i) Tuan Guru Haji Zulkifli bin Ismail hafizhohullahu Ta'ala (Mudir Pondok Baitul Qurro' wal Fuqoha', Melaka)
(ii) Tuan Guru Haji Abdul Wahab bin Haji Hasan hafizhohullahu Ta'ala (Mudir Pondok Tahzibun Nufus, Kedah)
(iii) Al-Fadhil al-Musnid Ustaz Mohd Zaidi Abdullah hafizhohullahu Ta'ala (Akademi 'Ulum Pondok dan Pencerahan Tamadun)
(iv) Al-Fadhil Ustaz Nik Bakri Nik Mat hafizhohullahu Ta'ala (Mudir Madrasah Dakwah dan Tarbiyyah al-Hasaniyyah)

13. Al-Fadhil Ustaz Mohd Zaidi misalnya, membawa manhaj institusi pondok yang bukan calang-calang perbendaharaan ilmu dan ketamadunannya.

(Sumber)
14. Para habaib pula adalah mereka yang akan membuatkan kita berasa cukup sayang akan Rasulullah sollAllahu 'alayhi wa sallam sehinggakan rasa sayang kita itu akan melimpah kepada orang-orang di sekeliling kita pula.

15. Antara yang saya hadiri majlis mereka adalah Syeikh Abdullah al-Jahaf dan anak-anak murid beliau hafizhohumullahu Ta'ala, Mudir di Ribat al-Quran, Yayasan Restu, Shah Alam. Syeikh merupakan antara anak murid utama bagi Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz hafizhohullahu Ta'ala dari Yaman.

16. Akhir sekali, rugilah jika kita tidak mengambil peluang untuk meneguk sedikit daripada lautan ilmu tokoh mujaddid abad ini dalam bidangnya, Prof. Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas hafizhohullahu Ta'ala (ramai yang tidak tahu bahawa beliau masih ada bersama-sama kita di Malaysia, semoga Allah terus memanjangkan umur beliau).

17. Beliau bukan sahaja dianugerahkan keilmuan yang tinggi dalam agama kita Islam, bahkan beliau adalah rujukan utama juga dalam ilmu-ilmu peradaban Barat, menjadikan beliau seorang yang tinggi autoriti ilmunya, terutamanya dalam kita mendepani zaman kontemporari dengan pelbagai cabaran yang berbentuk serangan pemikiran.

18. Selain pernah menghadiri majlis beliau sendiri, alhamdulillah kita amat bertuah kerana beliau telah melahirkan ramai tokoh tempatan yang boleh menjadi rujukan kita seperti Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud hafizhohullahu Ta'ala yang telah menulis satu komentar ringkas tentang 'Pandangan Alam Islam' di sini.

19. Selain beliau, berikut saya senaraikan beberapa orang lagi antaranya:

(i) Prof. Dr Muhammad Zainiy Uthman hafizhohullahu Ta'ala
(ii) Prof. Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah hafizhohullahu Ta'ala
(iii) Prof. Madya Dr Khalif Muammar hafizhohullahu Ta'ala
(iv) Encik Asham Ahmad hafizhohullahu Ta'ala

Penutup

20. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada sahabat-sahabat saya termasuklah Sidi Dr Syafiq Haziq, Sidi Ustaz Ahmad Ikhwan Ahmad Zaki, Sidi Ahmad Syahrir Salim, Sidi Muhammad Za'im Yusoff, Seyyidati Nor Eisma Adiba hafizhohumullahu Ta'ala dan ramai lagi yang tak dapat saya senaraikan semuanya di sini.

21. Tidaklah saya mengajak kalian kepada saya, sebaliknya saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan, rakan-rakan yang saya hormati lagi kasihi untuk meneliti nama-nama yang saya sebutkan di atas dan sama-sama mengambil manfaat daripada (serta mendoakan) mereka insya Allah.

Wallahua'lam. Mohon maaf dan pembetulan serta nasihat jika saya melakukan kesilapan dan kekurangan adab pada kalam saya yang faqir lagi dho'if ini. Allahul musta'an.
Baca Teks Penuh