Monday 10 July 2023

ISTIMEWA AIDILADHA: Erti Sebuah Pengorbanan


Bismillah.

1. Dalam bahasa Inggeris, berkorban disebut 'to sacrifice'.

2. Perkataan 'sacrifice' berkait dengan perkataan 'sacred' dan kedua-duanya berkongsi asal kalimah dalam bahasa Latin, 'sacer' yang bermaksud 'holy' yakni suci atau bersih.

3. Dalam bahasa Melayu, mungkin perkataan paling dekat dengan suci, bersih ialah 'kudus' atau 'ikhlas' dan kedua-duanya daripada bahasa Arab juga.

4. Dalam bahasa Arab, korban datang daripada perkataan yang sama maksud dengan karib, akrab atau kerabat, yang berkongsi maksud DEKAT.

قرِب يقرَب قُربًا

5. Kawan rapat kita dipanggil kawan karib, dan ahli keluarga kita yang dekat dengan kita dipanggil kaum kerabat.

6. Binatang sembelihan yang disembelih atau dikorbankan dalam bahasa Arab dipanggil 'al-udhiyyah' (الأضحية), yang berasal daripada perkataan al-dhahwah (الضّحوة) ertinya waktu pagi, kerana aktiviti korban dibuat pada waktu dhuha (pagi).

7. Perhatikan juga bahawa nama lain bagi hari raya haji atau korban ialah idul adha (عيد الأضحى).

8. Akhir sekali, dalam kitab fiqh mazhab Syafie seperti al-Yaqut al-Nafis, apabila dinyatakan takrif binatang korban (الأضحية) terdapat di dalamnya perkataan 'UNTUK MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH TA'ALA (تقربا إلى الله تعالى)', yakni tujuan korban.

9. Ringkasnya, ibadah korban adalah sebuah ibadah, satu penghambaan dan pengabdian untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala dengan ikhlas, bukan sekadar pesta daging tahunan.

10. Selamat hari raya korban semua. 

WAllahua'lam.

"Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.”
Surah al-Hajj, ayat 37


0 comments:

Post a Comment