Monday 17 July 2023

Maqasid Tanpa Usul

Bismillah.

Hantaran ini berasal daripada laman muka buku saya bertarikh 12 Julai 2023 di sini. Semoga bermanfaat.

1. Alhamdulillah sampai depan rumah semalam gembira sebab kitab al-Imla' karangan Dr Amjad Rasyid telah sampai, walaupun masih menunggu-nunggu buku terbaru Prof. Al-Attas bertajuk 'Islam the Covenants Fulfilled'.

2. JazakumuLlahu khayral jaza' Ustaz Syazwan Maktabah Ibn Hisyam atas kirimannya. Cepat dan sangat baik kualiti khidmat beliau.

3. Kitab ini adalah kitab dalam ilmu Usul al-Fiqh yang bukan sahaja ilmu yang sangat penting, bahkan ia tidak ada pada agama lain, memang tulen asli lagi sejati produk ilmu Islam, seperti ilmu riwayat Hadis.

4. Dr Amran Muhammad  dalam sesi muqaddimah pengajian kitab Hasyiah Shaykh Said Foudah atas Syarah Shaykh Mahalli atas Matan Waraqat bimbingan Habib Ali Baqir menyebut bahawa untuk belajar tentang Maqasid Shariah, mestilah bermula dulu dengan ilmu mantiq, kemudian ilmu Kalam, kemudian ilmu ini yakni Usul al-Fiqh barulah belajar Maqasid Shariah.

(Rakaman pengajian Syarah Waraqat di ISSI hingga khatam (17 siri) ada di YouTube dan boleh dicapai di sini)

5. Beliau menekankan kepentingan Mabadi' Shariah sebelum Maqasid Shariah.

6. Bahkan baru-baru ini, seperti dicatat Ustaz Lokman Danuri , Shaykh Ali Jumuah, bekas mufti Mesir menyebut bahawa tidak ada kitab Muktabar untuk Maqasid Shariah, melainkan ia sebenarnya dipelajari dalam masalah munasib, dalam bab 'illah, dalam kitab Qiyas dalam ilmu Usul al-Fiqh.

7. Mujurlah juga tokoh kewangan Islam seperti Dr Mohamed Hadi AH ada juga memberi nasihat untuk pemula (beginner, mubtadi) seperti saya tentang perlunya berhati-hati dalam mempelajari sesuatu ilmu mengikut turutan yang betul, supaya tidak sesat sehingga tidak jumpa jalan keluar wal 'iyazubillah.

8. Akhir sekali, di bawah ini, saya kongsikan sikit lagi tentang kitab al-Imla' seperti di dalam gambar.

9. Kitab ini adalah cetakan ke-4, tahun 2023 (1444 Hijrah) dan disertakan di bahagian akhir kitab ini Tashilu al-Turuqot ila Nazam al-Waraqat karya al-Allamah al-Amriti, yakni bait-bait syair yang mengandungi isi kandungan kitab al-Waraqat.

10. Di awalnya juga dimuatkan biografi Imam al-Juwaini, biografi Imam al-Mahalli serta syarah kepada al-Mabadi' al-Asyarah bagi ilmu Usul al-Fiqh.

WAllahua'lam.


اللهم فقهنا في الدين وعلمنا التأويل

اللهم انفعنا بما علمتنا وعلمنا ما ينفعنا وزدنا علما نافعا

اللهم إني أعوذ بك من علم لا ينفع ومن قلب لا يخشع، ومن دعاء لا يسمع، ومن نفس لا تشبع، ومن هؤلاء الأربع

آمين يا رب العالمين...

0 comments:

Post a Comment