Tuesday 18 July 2023

Dua

 Bismillah.

1. Alhamdulillah akhirnya sampai juga karya istimewa Prof. Naquib al-Attas pada hari Isnin, hari kelahiran Nabi صلى الله عليه وسلم, yang merupakan hari kedua dalam seminggu, jika dikira minggu bermula hari Ahad, dan juga jika dilihat pada maksud kalimah Isnin, yang dekat dengan nombor dua dalam bahasa Arab, yakni isnan (اثنان), isnayni (اثنين) atau isnataan (اثنتان).

2. Saya nak kongsikan dua tempat daripada buku tersebut, yakni awal dan akhirnya. Prof. membuka bicara dengan mendedikasikan karya istimewa ini kepada junjungan besar kita:

"To the holy Prophet Muhammad, the Noblest of the Prophets and the Messengers of God, I dedicate this Discourse."

3. Dan pada akhirnya, selepas Prof. mempersembahkan dalil (evidence) yang lengkap (complete) lagi muktamad (conclusive) tentang perjalanan Isra' dan Mikraj Rasul dengan kedua-dua ruh dan jasadnya, Prof. mengakhiri karya ini dengan:

"Every praise be to Allah, to Whom all Praise is due. We have come to the end of our discourse."

4. Sempena lebih kurang lagi dua bulan sebelum masuknya bulan Rabiul awwal bulan kelahiran Nabi, marilah kita mula mengenal baginda lebih dalam lagi, dari dua segi, zahir dan batin, antaranya melalui dua karya besar iaitu:

Al-Shamail al-Muhammadiyyah oleh al-Imam al-Tirmizi,

dan

Al-Shifa' bi Ta'rifi Huquqil Mustofa oleh Qadi Iyadh.

5. Semoga dengan itu, kita dijauhi hilang adab kepada Nabi seperti dua contoh yang telah wujud di muka buku, mengatakan "Nabi ketua yang tak pernah minta maaf apabila buat silap" dan "Nabi tidak selesaikan isu cemburu isteri."

6. Sedangkan membaca tentang baginda Nabi, selain memupuk cinta dan adab, menjadi penawar dan rawatan buat jasad dan jiwa, persis nama kitabnya yang kedua di atas, al-Shifa' yang bererti penawar.

7. Pernah juga mendengar seorang Shaykh Arab sambil tersenyum menyebut bahawa perkataan dua dalam bahasa Melayu hampir sama bunyinya dengan perkataan Arab dawa' (دَواء), yang bermaksud ubat atau penawar.

8. Akhir sekali, ingatlah bahawa Islamnya kita bukan hanya dengan mengaku Allah sebagai Tuhan, tetapi juga Nabi Muhammad sebagai Rasul-Nya, dan inilah yang dipanggil dua kalimah syahadah (شهادتان).

WAllahua'lam ❤️

0 comments:

Post a Comment