Thursday 8 January 2015

Tentang Sambutan Mawlid Nabi SAW


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Berikut merupakan terjemahan dalam bentuk ringkasan dan mafhum kepada satu artikel yang merupakan fatwa Syeikh Abdallah bin Bayyah hafizhohullahu ta'ala tentang sambutan Maulidur Rasul.

2. Fatwa asal yang telah diterjemah oleh Imam Suhaib Webb hafizhohullahu ta'ala ke dalam Bahasa Inggeris dan menjadi rujukan saya boleh lah dirujuk di sini.

Latar belakang

3. Para 'alim ulamak berbeza pendapat tentang hukum menyambut mawlid. Ada yang menyatakan ia bid'ah yang dikeji, sehingga ada juga segelintir yang mengharamkan, dan ada juga para ulamak yang menyatakan ia bid'ah hasanah (yang baik).

4. Perbezaan ini adalah kerana berbezanya mereka dalam pembahagian (konsep) bid'ah.

5. Ramai ulamak terutamanya dalam kalangan mazhab Imam ikutan kita di Nusantara iaitu Imam al-Shafi'e yang berpendapat tentang adanya bid'ah hasanah. 

6. Yang paling utama, adalah tidak asing lagi, Syeikh al-'Izzi Adin Abdul Salam rohimahullahu ta'ala.

7. Imam al-Qarafi rahimahullahu ta'ala pula, seorang ulamak bermazhab Maliki mempunyai pendapat yang sama, memberi perhatian yang kuat dalam hal ini, serta membuat penjelasan yang cukup panjang tentangnya.

8. Beliau membahagikan bid'ah kepada 5 bahagian iaitu (1) wajib, (2) sunnah, (3) harus, (4) makruh dan (5) haram.

9. Tidak lupa ada juga yang tidak bersetuju dengan pendapat di atas dan berpendapat bahawa semua bid'ah adalah dikeji dan pada mereka, kenyataan Saidina Umar radhi-Allahu 'anhu tentang solat sunat terawih sebagai bid'ah yang baik hanyalah dari segi bahasa sahaja.

10. Antaranya ialah Syeikh Taqi al-Din Ahmad Ibn Taymiyyah, al-Shaitibi dalam kitabnya al-'Itisam serta ramai ulamak daripada mazhab Maliki dan Hanbali rohimahumullahu ta'ala.

11. Imam al-Suyuti rohimahullahu ta'ala pula telah menulis untuk menyokong sambutan mawlid ini, dan tidak dinafikan ada yang menulis tentang larangannya.

12. Justeru, pada pendapat Syeikh Bin Bayyah, tiada keperluan untuk memanjangkan perbahasan tentang hal ini atau berdebat tentangnya lagi.

Syeikh Abdallah bin Bayyah (Sumber)

Hukum sambutan mawlid

13. Siapa yang ingin menyambut mawlid, maka sambutlah dan elakkan daripada sebarang perkara yang bertentangan dengan syariat Islam.

14. Sambutan ini mesti dilaksanakan tanpa diniatkan bahawa ia adalah sunnah mahupun perkara yang wajib.

15. Jika syarat-syarat ini dipenuhi, dan seseorang itu berjaga-jaga daripada melanggar syariat Islam, dek kecintaan yang tulus kepada Rasulullah SAW, justeru tiada masalah menyambut mawlid malah diberi ganjaran.

16. Berkata Syeikh Ibn Taymiyyah, "Sesungguhnya seseorang (yang menyambut mawlid) itu diberi ganjaran berdasarkan niatnya."

17. Demikian juga, seseorang yang meninggalkan sambutan mawlid kerana ingin berpegang kepada sunnah dengan perasaan takut terjerumus ke dalam bid'ah, justeru dia pun akan mendapat ganjaran insya Allah.

18. Adalah penting untuk memahami bahawa hal ini bukan perkara yang besar, dan tidak perlulah memberi perhatian yang berlebihan terhadapnya.

Ulasan saya (Ibnu Hanaffi)

19. Di bahagian terakhir, Syeikh menyebut bahawa perhatian yang cuba diberikan oleh beliau (dalam hal ini) adalah dalam menyatukan ummah dan menghapuskan perbezaan.

20. Setiap pihak (yang menyokong dan melarang sambutan mawlid) ada hujah masing-masing justeru hendaklah saling berlapang dada dan saling menghormati.

21. Syeikh menutup dengan menyatakan bahawa pada pandangan beliau, kedua-dua pihak adalah pada kebaikan insya Allah, selagi mana perkara sebegini tidak bercampur aduk dengan perkara yang munkar serta dengan niat yang betul.

22. Saya (Ibnu Hanaffi) sebagai insan yang faqir lagi dho'if yang mengikuti sambutan mawlid secara peribadi telah merasai dan terus mengharapkan manfaat yang besar daripada sambutan mawlid ini.

23. Wallahua'lam. Mohon maaf jika saya membuat kesilapan dan mohon tunjuk ajar.

0 comments:

Post a Comment