Saturday 3 January 2015

Bukan Sekadar Makhluk Biasa


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

"Jikalau Allah SWT membukakan kecantikan Rasulillah SAW pada pandangan manusia biasa, maka sudah pasti tiada siapapun yang mampu untuk menatap wajah Rasulillah SAW."
-Imam al-Qurtuby Rodhi-Allahu 'anhu

1. Alhamdulillah, sempena sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabi'ul awwal 1436 Hijrah kali ini, saya nukilkan sedikit ilmu yang amat penting tentang Rasulullah SAW kekasih kita semua.

2. Pertamanya, nukilan daripada buku 'Pegangan Sejati Ahli Sunnah wal Jamaah oleh al-Fadhil Ustaz Mohd Zaidi Abdullah hafizhohullahu ta'ala pada bab Kedudukan Makhluk (M/S: 64).

Muka depan buku (Sumber)
3. Kata penulis (Ustaz Mohd Zaidi): Sifat kemanusiaan iaitu kelemahannya iaitu manusia dari jenis (makhluk) tetapi dia teristimewa daripada manusia lain dengan perkara yang tidak boleh berkait seseorang pun dari manusia atau menyamainya seperti sabda Nabi Muhammad SAW tentang dirinya sendiri dalam sebuah hadis sahih:

"Sesungguhnya aku bukanlah seperti kelakuan kamu, Allah memberi makanan dan memberi minum kepadaku."

4. Dalam nota kaki, penulis menegaskan bahawa terdapat beberapa kewajipan tertentu yang diwajibkan kepada baginda tetapi tidak umatnya, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Shafi'e rahimahullahu ta'ala di dalam Kitab al-Umm.

5. Sedarlah, jika kita fikir Nabi SAW dan para Rasul yang lain itu hanyalah manusia biasa seperti kita, justeru kita sudah mengambil pandangan orang-orang Jahiliyah sebagaimana yang dirakamkan di dalam al-Quran.

6. Contohnya, dalam surah Hud, ayat 27 mafhumnya:

"Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: Kami tidak memandangmu (Wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami.."

7. Selain Nabi Nuh AS, demikian juga yang berlaku kepada Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS (Surah al-Mu'minun, ayat 47), Nabi Salih As (Surah al-Shu'ara', ayat 154) dan Nabi Shu'aib AS (Surah al-Shu'ara', ayat 186).

8. Tidak dilupakan, kata-kata kaum Musyrikin tentang diri Rasulullah SAW, yang memandang baginda hanya sebagai manusia biasa.

"Dan mereka pula berkata: Mengapa rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti  manusia lain)??!!"
(Surah al-Furqan, ayat 7)


9. Padahal Rasulullah SAW itu, ketika kedua-dua matanya tidur, hatinya tidak pernah tidur.

10. Rasulullah SAW itu, dapat melihat sahabat dari belakang sepertimana baginda melihat dari depan.

11. Rasulullah SAW itu, peluhnya harum seperti kasturi.

12. Dan baginda SAW itu, telah melalui perjalanan Isra' Mi'raj dengan kedua-dua roh dan jasad baginda.

13. Tidak akan habis jika ingin diceritakan kesemua keistimewaan baginda SAW. Yang pasti, baginda SAW tidak sama seperti kita dan makhluk yang lain.

14. Adapun ayat al-Quran yang berbunyi 'Aku ini manusia sepertimu' (dalam Surah al-Kahfi, ayat 18) perlu dilihat dalam konteks yang benar mengikut penjelasan para 'alim ulamak.

15. Kata mereka, ayat ini bukan ditujukan kepada kaum mukminin, sebaliknya untuk menyanggah kaum penyembah berhala yang menganggap bahawa seorang Rasul mestilah seorang Malaikat atau anak Tuhan. (Sila baca lebih lanjut di sini).

16. Kesimpulannya, marilah sama-sama kita mengambil peluang ini untuk bukan sahaja mengenali baginda SAW dengan lebih dekat, tetapi mengenali baginda SAW sepertimana baginda layak dikenali, berdasarkan pegangan Ahlu Sunnah wal Jamaah.

17. Semoga Allah SWT menyemarakkan rasa cinta dan kasih sayang kita dan ahli keluarga kita terhadap baginda SAW serta para ahlul bayt dan seluruh sahabat baginda, dan semoga kita dikumpulkan bersama mereka semua pada hari akhirat kelak. Amin. Allahumma amin.

Bersabda Rasulullah SAW mafhumnya:
"Belum sempurna iman kalian, hingga aku lebih dicintainya, dari ayah ibunya, dan anaknya dan seluruh manusia."
(Sahih Bukhari)

Wallahua'lam. Wassalamualaikum warahmatullahi wa barokaatuh.
Allahumma solli wa sallim wa baarik 'alayhi wa 'alaa aalih.

2 comments:

Sharol said...

https://www.facebook.com/sawanih/posts/4-musnid-nusantara-kinipendokumentasian-sanad-merupakan-salah-satu-elemen-pentin/1256589184508385/

Pengarang kitab ini, merupakan antara empat musnid hadis di Nusantara sekarang. Diperkatakan oleh Ustaz Dr. Khofidz Soroni.

Ibnu Hanaffi said...

Na'am ya sidna syukron atas perkongsian

Post a Comment