Saturday 21 February 2015

Sujudlah!


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Alhamdulillah, syukur dan segala pujian hanya milik Allah SWT. Terlalu banyak ilmu bermanfaat sebentar tadi, namun izinkan saya kongsikan sikit perihal sujud.

Majlis Ta'lim ini diadakan pada setiap hari Sabtu. Masha Allah, ayuh kita tetapkan dalam
kalendar kita untuk istiqamah hadir majlis penuh barokah ini sekali sahaja seminggu.
2. Telah bersabda Rasulullah sollAllahu 'alayhi wa sallam, mafhumnya, "Waktu paling dekat seorang hamba dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah ketika sedang sujud. Maka, perbanyakkanlah doamu ketika sujud."

3. Bayangkan, dalam banyak-banyak posisi solat, daripada berdiri sehingga rukuk dan sujud, kita sebenarnya paling dekat dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala tatkala kepala kita rebah ke tanah pada posisi paling rendah.

4. Dibaca pula doa ketika sujud, "Subhana Robbiyal A'la wa bihamdih" yang merupakan tasbih kepada Allah dan pengakuan bahawa Dialah Tuhan yang Maha Tinggi.

5. Pada posisi sujud, jantung hati kita berada pada kedudukan yang lebih tinggi berbanding aqal di kepala, menandakan bahawa iman kita yang tempatnya di hati itu mengatasi kemampuan intelek dan logik yang terbatas.

6. Nabi sollAllahu 'alayhi wasallam juga bersabda dalam sebuah hadis oleh Abu Hurayrah rodhi-Allahu 'anhu diriwayatkan oleh Imam Muslim rahmatullahi 'alayh, mafhumnya, "Setiap kali anak Adam sujud, syaitan lari bersembunyi lalu menangis dan berteriak. Katanya, celakalah aku! Anak Adam diperintahkan sujud lalu mereka sujud, lalu mereka memperoleh syurga. Aku pula diperintah sujud (kepada Nabi Adam 'alayhissalam) tapi aku tidak sujud, dan bagiku neraka!"

7. Ringkasnya, wahai saudara-saudari se-Islam yang saya kasihi, ayuh banyakkan bersujud dengan khusyuk dan rasa rendah hati kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Syeikh Abdullah al-Jahaf hafizhohullahu ta'ala berpesan di akhir majlis, "Lihatlah bagaimana nasib iblis dan syaitan yang tak mahu sujud (hormat) kepada Nabi Adam 'alayhissalam. Bagaimana pula agaknya dengan manusia sekarang yang bukan enggan sujud kepada Nabi Adam, tetapi enggan sujud kepada Allah! (yakni solat). Lebih teruk daripada iblis!"

Wallahua'lam. Wassalamualaykum warohmatullahi wa barokaatuh.

0 comments:

Post a Comment