Tuesday 14 April 2015

Zikir 'Menari'


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warohmatullahi wa barokaatuh.


1. Gambar semasa pengajian Majlis Ta'lim Yayasan al-Raha, Seksyen 7 Shah Alam bersama-sama Syeikh Abdullah al-Jahaf, Ustaz Muhammad dan mufti dari Yaman, Syeikh Abdul Qadir al-Bayhani hafizhohumullahu Ta'ala pada hari Sabtu lepas, 21 Jamadilakhir 1436 Hijrah.

2. Sepanjang saya menghadiri majlis para habaib (jamak (plural) kepada habib), saya tak pernah berjoget atau menari, apatah lagi mereka. Apatah lagi nak buat 'break dance'!

3. Tentang zikir sambil menari (menggoyangkan badan ini), Tuan Guru Harun Din hafizhohullahu Ta'ala salah seorang yang ada menulis artikel yang menjelaskan dengan baik beserta dalil.

4. Kalau boleh saya nukilkan pesanan Tuan Guru, agama ini bukan dinilai dengan apa yang kita 'RASA!'

5. Satu contoh yang saya boleh fikirkan ialah bersugi atau bersiwak yang merupakan satu sunnah Rasulullah sollAllahu 'alayhi wa sallam yang besar.

6. Namun, tak dinafikan ada orang yang beRASA tak selesa ketika ada orang bersugi sebelum solat berjemaah. Tapi PERASAAN orang itu tak menjadikan sunnah Rasulullah ini perkara yang haram!

7. "Tapi bersugi lain. Itu Rasulullah buat. Rasulullah menari ke?"

8. Belajarlah agama. Apa yang Nabi tak buat tak semestinya haram. Ini satu salah faham yang mesti dibetulkan.

9. Dalilnya, Nabi pernah dihidangkan dengan dhob (biawak padang pasir) yang dipanggang dan Nabi menolak (tak makan) tapi sahabat yakni Saidina Khalid al-Walid rodhi-Allahu 'anhu makan di depan Nabi dan tak dilarang!

10. Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Bukhori dan Muslim dan sebenarnya banyak lagi dalil lain yang membuktikan bahawa apa yang Nabi tak buat bukan automatik jadi haram (melainkan Nabi sendiri mengharamkan).

11. Ringkasnya, saya cuma ingin mengajak orang awam seperti anda dan saya terutamanya supaya ambil 2 iktibar.

12. Pertama, agama dinilai berdasarkan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas, bukannya apa yang kita RASA.

13. Kedua, kata orang bijak pandai, orang yang sibuk memperbaik diri tak akan ada masa memburuk-burukkan orang lain.

14. Jauhilah daripada kelompok manusia yang banyak menuduh kaum lain sesat, bid'ah dan syirik sebaliknya carilah insan-insan yang membantu kita menambah cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.

15. Golongan pencinta ini adalah para sufi dan ahli tasawwuf. Walaupun ada yang sesat dan menggunakan nama sufi atau tasawwuf, janganlah pukul rata (generalize) semuanya.

16. Jadilah pendakwah, bukan penghukum.

17. Wallahua'lam. Allahul musta'an.

0 comments:

Post a Comment