Tuesday 3 March 2015

Wahabi (Pseudo-Salafi), Saya, Habaib dan Al-Attas


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warohmatullahi wa barokaatuh.

Pendahuluan

1. Suka saya mulakan dengan memohon agar Allah subhanahu wa Ta'ala mengampuni dosa-dosa saya dan membersihkan hati kita semua. Setinggi-tinggi kesyukuran atas nikmat Islam dan Iman, serta nikmat menjadi umat Rasulullah sollAllahu 'alayhi wa sallam, itulah sebesar-besar nikmat.

(Sumber)
2. Pertamanya, saya ingin mengajak saudara-saudari dan rakan-rakan untuk sama-sama muhasabah dan beringat-ingat, bahawa sebagai orang awam seperti saya, tugas kita bukanlah menilai atau menghukum (to judge) para 'alim ulamak, kerana masakan boleh seorang pesakit datang ke hospital untuk mendiagnos doktor pakar.

3. Kedua, dalam isu Wahabi (atau lebih tepatnya Pseudo-Salafi), keprihatinan utama kita (our main concern) bukanlah siapa yang ingin dilabelkan dengan label Pseudo-Salafi, tetapi kita perlu tahu sifat-sifat dan wataknya yang perlu dijauhi.

4. Antara ringkasan sifat-sifat itu boleh dibaca di sini dan di sini.

Pengalaman saya

5. Secara peribadi, saya pada awalnya cenderung dengan aliran pemikiran begini, kerana ia nampak mudah dan dekat (kononnya) dengan orang awam yang jahil seperti saya.

6. Namun, berkat nasihat dan bimbingan beberapa orang sahabat baik hafizhohumullahu Ta'ala, saya meninggalkan aliran ini dan mengharapkan Allah subhanahu wa Ta'ala terus membimbing saya untuk sentiasa memperbaik diri yang selalu menzalimi diri ini.

7. Bukan sedikit ilmuwan yang terpengaruh dengan aliran ini akhirnya bertaubat dan kembali kepada aliran sebenar Ahli Sunnah wal Jamaah dan perubahan yang mereka lalui adalah kerana dengan Rahmat Allah yang Maha Luas, mereka diketemukan dengan orang yang rasikh lagi mendalam ilmunya.

8. Dengan kata lain, orang yang tinggi inteleknya dan bersih hatinya pasti tidak mahu bersama-sama aliran Pseudo-Salafi ini (dengan izin Allah).

9. Selain itu, mereka banyak menuduh umat Islam melakukan bid'ah, sesat, syirik, kafir dan sebagainya dengan manhaj yang keras dan menghilang padanya elemen rahmat serta kasih sayang, menyebabkan saya sendiri merasakan semakin lama semakin tidak gemar pada mereka.

Justeru, jalan siapa yang ingin diikuti?

10. Alhamdulillah, marilah sama-sama kita mengikuti manhaj para habaib, antara lain seperti yang terzhahir pada kalam Habib Abu Bakr al-'Adni bin Ali al-Masyhur hafizhohullahu Ta'ala mafhumnya, "Jalan kami adalah menjaga lisan dari mencela dan menjaga tangan dari darah orang lain."

11. Sebelum saya terlupa, kita sewajarnya bersyukur kerana di bumi Nusantara ini, kita mempunyai rangkaian ulamak tempatan yang cukup hebat lagi bersambung sanad ilmu dan hikmahnya kepada Rasulullah sollAllahu 'alayhi wa sallam.

12. Jika dapat saya sebut beberapa orang yang alhamdulillah masih ada bersama-sama kita dan pernah saya hadir majlis mereka ialah:

(i) Tuan Guru Haji Zulkifli bin Ismail hafizhohullahu Ta'ala (Mudir Pondok Baitul Qurro' wal Fuqoha', Melaka)
(ii) Tuan Guru Haji Abdul Wahab bin Haji Hasan hafizhohullahu Ta'ala (Mudir Pondok Tahzibun Nufus, Kedah)
(iii) Al-Fadhil al-Musnid Ustaz Mohd Zaidi Abdullah hafizhohullahu Ta'ala (Akademi 'Ulum Pondok dan Pencerahan Tamadun)
(iv) Al-Fadhil Ustaz Nik Bakri Nik Mat hafizhohullahu Ta'ala (Mudir Madrasah Dakwah dan Tarbiyyah al-Hasaniyyah)

13. Al-Fadhil Ustaz Mohd Zaidi misalnya, membawa manhaj institusi pondok yang bukan calang-calang perbendaharaan ilmu dan ketamadunannya.

(Sumber)
14. Para habaib pula adalah mereka yang akan membuatkan kita berasa cukup sayang akan Rasulullah sollAllahu 'alayhi wa sallam sehinggakan rasa sayang kita itu akan melimpah kepada orang-orang di sekeliling kita pula.

15. Antara yang saya hadiri majlis mereka adalah Syeikh Abdullah al-Jahaf dan anak-anak murid beliau hafizhohumullahu Ta'ala, Mudir di Ribat al-Quran, Yayasan Restu, Shah Alam. Syeikh merupakan antara anak murid utama bagi Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz hafizhohullahu Ta'ala dari Yaman.

16. Akhir sekali, rugilah jika kita tidak mengambil peluang untuk meneguk sedikit daripada lautan ilmu tokoh mujaddid abad ini dalam bidangnya, Prof. Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas hafizhohullahu Ta'ala (ramai yang tidak tahu bahawa beliau masih ada bersama-sama kita di Malaysia, semoga Allah terus memanjangkan umur beliau).

17. Beliau bukan sahaja dianugerahkan keilmuan yang tinggi dalam agama kita Islam, bahkan beliau adalah rujukan utama juga dalam ilmu-ilmu peradaban Barat, menjadikan beliau seorang yang tinggi autoriti ilmunya, terutamanya dalam kita mendepani zaman kontemporari dengan pelbagai cabaran yang berbentuk serangan pemikiran.

18. Selain pernah menghadiri majlis beliau sendiri, alhamdulillah kita amat bertuah kerana beliau telah melahirkan ramai tokoh tempatan yang boleh menjadi rujukan kita seperti Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud hafizhohullahu Ta'ala yang telah menulis satu komentar ringkas tentang 'Pandangan Alam Islam' di sini.

19. Selain beliau, berikut saya senaraikan beberapa orang lagi antaranya:

(i) Prof. Dr Muhammad Zainiy Uthman hafizhohullahu Ta'ala
(ii) Prof. Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah hafizhohullahu Ta'ala
(iii) Prof. Madya Dr Khalif Muammar hafizhohullahu Ta'ala
(iv) Encik Asham Ahmad hafizhohullahu Ta'ala

Penutup

20. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada sahabat-sahabat saya termasuklah Sidi Dr Syafiq Haziq, Sidi Ustaz Ahmad Ikhwan Ahmad Zaki, Sidi Ahmad Syahrir Salim, Sidi Muhammad Za'im Yusoff, Seyyidati Nor Eisma Adiba hafizhohumullahu Ta'ala dan ramai lagi yang tak dapat saya senaraikan semuanya di sini.

21. Tidaklah saya mengajak kalian kepada saya, sebaliknya saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan, rakan-rakan yang saya hormati lagi kasihi untuk meneliti nama-nama yang saya sebutkan di atas dan sama-sama mengambil manfaat daripada (serta mendoakan) mereka insya Allah.

Wallahua'lam. Mohon maaf dan pembetulan serta nasihat jika saya melakukan kesilapan dan kekurangan adab pada kalam saya yang faqir lagi dho'if ini. Allahul musta'an.

4 comments:

Sharol said...

Alhamdulillah, saya sentiasa hubungi al-Musnid Ustaz Zaidi Abdullah. Sekarang beliau dalam musafir, di Kemaman. Hidupnya, banyak habis di jalanan mencari ulama dan ilmu.

Ibnu Hanaffi said...

Allah Allah.. na'am ya habibi akhina. Syukron atas komentar sidi Sharol

Sharol said...

Kita ada berjumpa pada Hari Asyura yang lepas. Sama-sama makan malam di rumah Akademi Ulum Pondok.

Ibnu Hanaffi said...

Masha Allah baik ya sidna. Moga terus diberkati amin ya Robb. Doakan saya

Post a Comment