Saturday 31 January 2015

Mencari Bimbingan


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

"Ulamak itu pewaris para Nabi."
-Mafhum kalam junjungan mulia lagi agung, Rasulullah SAW

Syeikh dikenali juga sebagai Abu Ali al-Banjari (Sumber)
1. Semalam selepas solat Maghrib di Surau At-Taqwa, Seksyen 7, Shah Alam, Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki hafizhohullahu ta'ala menjelaskan bahawa walaupun kurangnya guru-guru mursyid untuk membimbing manusia kepada Allah dan Rasul-Nya pada zaman ini, para 'alim ulamak melalui pengalaman ruhaniah mereka memberikan dua jalan penyelesaian.

2. Jelas Syeikh, walaupun ia mungkin tak sama dengan mendapat bimbingan guru mursyid, ia sekurang-kurangnya dapat membantu kita insya Allah.

3. Dua hal tersebut adalah seperti berikut:

PERTAMA:
Banyakkan menela'ah dan mengkaji kitab-kitab Imam al-Ghazali rahimahullahu ta'ala dengan ikhlas dari hati kerana Imam al-Ghazali menulisnya dengan hati yang ikhlas dan penuh kasih sayang.

KEDUA:
Memperbanyakkan selawat (dengan sebanyak-banyaknya) ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

4. Syeikh kemudian membacakan 2 kali serta mengijazahkan kepada kami Selawat Jumaat yang diambil daripada kitab Ihya' 'Ulumiddin karangan Imam al-Ghazali dengan sanad yang muttasil (bersambung) kepada penulis kitab.

5. Beliau juga mensharahkan tentang selawat tersebut, antara lain menyentuh tentang syafa'at Rasulullah SAW di Padang Mahsyar, tentang perihal Maqom Mahmud dan al-Wasilah, yang kita semua boleh dapati dalam doa selepas azan yang kita baca.

6. Untuk manfaat kita semua insya Allah, saya ada kongsikan juga sebelum ini di blog satu doa untuk mencari guru mursyid yakni pewaris para Nabi di sini.

7. Semoga Allah SWT tambahkan rasa kasih dan cinta kita kepada baginda Rasulullah SAW dan para pewaris baginda, dan semoga kita dihimpunkan bersama mereka serta mendapat syafa'at agung Rasulullah SAW kelak.

Amin. Allahumma amin. Wallahua'lam. Sollu 'alannabiyy!
Baca Teks Penuh

Wednesday 28 January 2015

Pengajian Kitab Safinatun Najah (Bab Solat)


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Alhamdulillah pada tarikh 4 dan 5 Rabi'ul akhir 1436 Hijrah bersamaan 24 dan 25 Januari 2015 yang lepas, saya berkesempatan menghadiri pengajian selama kira-kira 2 hari yang membincangkan bab solat daripada kitab Safinatun Najah yang sangat terkenal itu.

2. Pengarang kitab ini ialah Syeikh Salim bin Samir al-Hadhrami rahimahullahu ta'ala dan majlis ilmu kami dibimbing oleh al-Fadhil Ustaz Mohamad Khafiz Tohfah hafizhohullahu ta'ala, yang merupakan mudir Pondok Tahfiz al-Hidayah, Bukit Tinggi, Klang.

3. Alhamdulillah, sebagai usaha ulang kaji dan berkongsi ilmu dengan ahli keluarga, saya kumpulkan catatan saya dalam bentuk sebuah buku kerdil berformat pdf yang hanya ada 17 muka surat.

4. Di dalamnya terkandung beberapa nota penting daripada pengajian tersebut dan di bawah saya kongsikan pautan (link) untuk memuat turun (download) ia.

5. Semoga Allah SWT menambahkan bagi kita ilmu yang bermanfaat insya Allah.

6. Saya mohon doa sahabat-sahabat sekalian kepada saya yang sangat faqir lagi dhoif ini.

7. Wallahua'lam. Allahumma solli 'alaa sayyidina Muhammad.

P/S: Program ini dianjurkan oleh the Association of Professional Accounting Students (APAcS) dengan kerjasama Fakulti Perakaunan dan Pusat Zakat UiTM Shah Alam dan bertempat di Pusat Islam, UiTM Shah Alam.

Muat turun nota percuma (pdf) ini di sini
Nota: Macam mana nak muat turun ya?

1. Pautan di atas akan membawa anda ke laman Google Drive.

2. Sila tekan pada simbol 'download' yang ditunjukkan oleh anak panah merah dalam gambar di bawah. Jika masih tak dapat, jangan segan untuk komen di bawah ya? Saya boleh emel terus kepada anda insya Allah. Jazakumullahu khayran kasira.

Baca Teks Penuh

Thursday 8 January 2015

Tentang Sambutan Mawlid Nabi SAW


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Berikut merupakan terjemahan dalam bentuk ringkasan dan mafhum kepada satu artikel yang merupakan fatwa Syeikh Abdallah bin Bayyah hafizhohullahu ta'ala tentang sambutan Maulidur Rasul.

2. Fatwa asal yang telah diterjemah oleh Imam Suhaib Webb hafizhohullahu ta'ala ke dalam Bahasa Inggeris dan menjadi rujukan saya boleh lah dirujuk di sini.

Latar belakang

3. Para 'alim ulamak berbeza pendapat tentang hukum menyambut mawlid. Ada yang menyatakan ia bid'ah yang dikeji, sehingga ada juga segelintir yang mengharamkan, dan ada juga para ulamak yang menyatakan ia bid'ah hasanah (yang baik).

4. Perbezaan ini adalah kerana berbezanya mereka dalam pembahagian (konsep) bid'ah.

5. Ramai ulamak terutamanya dalam kalangan mazhab Imam ikutan kita di Nusantara iaitu Imam al-Shafi'e yang berpendapat tentang adanya bid'ah hasanah. 

6. Yang paling utama, adalah tidak asing lagi, Syeikh al-'Izzi Adin Abdul Salam rohimahullahu ta'ala.

7. Imam al-Qarafi rahimahullahu ta'ala pula, seorang ulamak bermazhab Maliki mempunyai pendapat yang sama, memberi perhatian yang kuat dalam hal ini, serta membuat penjelasan yang cukup panjang tentangnya.

8. Beliau membahagikan bid'ah kepada 5 bahagian iaitu (1) wajib, (2) sunnah, (3) harus, (4) makruh dan (5) haram.

9. Tidak lupa ada juga yang tidak bersetuju dengan pendapat di atas dan berpendapat bahawa semua bid'ah adalah dikeji dan pada mereka, kenyataan Saidina Umar radhi-Allahu 'anhu tentang solat sunat terawih sebagai bid'ah yang baik hanyalah dari segi bahasa sahaja.

10. Antaranya ialah Syeikh Taqi al-Din Ahmad Ibn Taymiyyah, al-Shaitibi dalam kitabnya al-'Itisam serta ramai ulamak daripada mazhab Maliki dan Hanbali rohimahumullahu ta'ala.

11. Imam al-Suyuti rohimahullahu ta'ala pula telah menulis untuk menyokong sambutan mawlid ini, dan tidak dinafikan ada yang menulis tentang larangannya.

12. Justeru, pada pendapat Syeikh Bin Bayyah, tiada keperluan untuk memanjangkan perbahasan tentang hal ini atau berdebat tentangnya lagi.

Syeikh Abdallah bin Bayyah (Sumber)

Hukum sambutan mawlid

13. Siapa yang ingin menyambut mawlid, maka sambutlah dan elakkan daripada sebarang perkara yang bertentangan dengan syariat Islam.

14. Sambutan ini mesti dilaksanakan tanpa diniatkan bahawa ia adalah sunnah mahupun perkara yang wajib.

15. Jika syarat-syarat ini dipenuhi, dan seseorang itu berjaga-jaga daripada melanggar syariat Islam, dek kecintaan yang tulus kepada Rasulullah SAW, justeru tiada masalah menyambut mawlid malah diberi ganjaran.

16. Berkata Syeikh Ibn Taymiyyah, "Sesungguhnya seseorang (yang menyambut mawlid) itu diberi ganjaran berdasarkan niatnya."

17. Demikian juga, seseorang yang meninggalkan sambutan mawlid kerana ingin berpegang kepada sunnah dengan perasaan takut terjerumus ke dalam bid'ah, justeru dia pun akan mendapat ganjaran insya Allah.

18. Adalah penting untuk memahami bahawa hal ini bukan perkara yang besar, dan tidak perlulah memberi perhatian yang berlebihan terhadapnya.

Ulasan saya (Ibnu Hanaffi)

19. Di bahagian terakhir, Syeikh menyebut bahawa perhatian yang cuba diberikan oleh beliau (dalam hal ini) adalah dalam menyatukan ummah dan menghapuskan perbezaan.

20. Setiap pihak (yang menyokong dan melarang sambutan mawlid) ada hujah masing-masing justeru hendaklah saling berlapang dada dan saling menghormati.

21. Syeikh menutup dengan menyatakan bahawa pada pandangan beliau, kedua-dua pihak adalah pada kebaikan insya Allah, selagi mana perkara sebegini tidak bercampur aduk dengan perkara yang munkar serta dengan niat yang betul.

22. Saya (Ibnu Hanaffi) sebagai insan yang faqir lagi dho'if yang mengikuti sambutan mawlid secara peribadi telah merasai dan terus mengharapkan manfaat yang besar daripada sambutan mawlid ini.

23. Wallahua'lam. Mohon maaf jika saya membuat kesilapan dan mohon tunjuk ajar.
Baca Teks Penuh

Monday 5 January 2015

Pencarian Pewaris Nabi


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Kulit depan buku (Sumber)

1. Doa berikut saya petik daripada sebuah buku bertajuk 'Risalah Fardu Ain' yang disediakan oleh Pertubuhan Sinar Damsyik Malaysia (PERSIDAM), pada muka surat 36.

2. Setinggi-tinggi penghargaan kepada al-fadhil Ustaz Md Aleh Solihin bin Ahmad Sidiki hafizhohullahu ta'ala, merangkap Yang Dipertua PERSIDAM kerana menghadiahkan buku ini.

"Seseorang boleh juga menunaikan solat hajat, bermunajat dan membaca doa yang diajarkan oleh ahli sufi untuk bertemu dengan pewaris para nabi. Doa tersebut ialah:



Transliterasi (oleh saya sendiri- mohon maaf dan pembetulan jika tersilap):

"Allahumma dullanii 'alaa man yadullunii 'alayk. Wa aw shilnii ilaa man yuu shilunii ilayk. Allahumma yaa jaami'annaasi liyawmil laa roiba fiih. InnAllaha laa yukhliful mii'aad. Ijma' baynii wa bayna man yursyidunii ilayk."

Perhatian: Dalam transliterasi di atas, 'sh' merujuk kepada huruf 'Sod' manakala 'sy' merujuk kepada huruf  'Syin'.

Terjemahan doa (dipetik daripada buku yang sama):

"Wahai Allah SWT! Tunjukkan kepadaku mereka yang boleh menunjukkan daku kepadaMu, dan sampaikanlah daku kepada mereka yang boleh menyampaikan daku kepadaMu. Wahai Allah SWT yang menghimpunkan manusia bagi hari yang tiada keraguan padanya, sesungguhnya Allah SWT tidak memungkiri janji, himpunkanlah daku dengan orang yang menunjukkan daku kepadaMu."

3. Sebagai penutup kalam, suka saya kongsikan bahawa penulis buku ini menjelaskan bahawa tugas utama pewaris-pewaris nabi (yang kita cari melalui doa ini) adalah untuk membimbing manusia beribadat agar dapat mengenal Allah SWT.

4. Penulis mengingatkan agar kita meletakkan keazaman yang tinggi untuk mengenal Allah SWT sebagai perkara asas untuk berguru dengan pewaris-pewaris Nabi.

Wallahua'lam. Semoga bermanfaat insya Allah.
Baca Teks Penuh

Saturday 3 January 2015

Bukan Sekadar Makhluk Biasa


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

"Jikalau Allah SWT membukakan kecantikan Rasulillah SAW pada pandangan manusia biasa, maka sudah pasti tiada siapapun yang mampu untuk menatap wajah Rasulillah SAW."
-Imam al-Qurtuby Rodhi-Allahu 'anhu

1. Alhamdulillah, sempena sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabi'ul awwal 1436 Hijrah kali ini, saya nukilkan sedikit ilmu yang amat penting tentang Rasulullah SAW kekasih kita semua.

2. Pertamanya, nukilan daripada buku 'Pegangan Sejati Ahli Sunnah wal Jamaah oleh al-Fadhil Ustaz Mohd Zaidi Abdullah hafizhohullahu ta'ala pada bab Kedudukan Makhluk (M/S: 64).

Muka depan buku (Sumber)
3. Kata penulis (Ustaz Mohd Zaidi): Sifat kemanusiaan iaitu kelemahannya iaitu manusia dari jenis (makhluk) tetapi dia teristimewa daripada manusia lain dengan perkara yang tidak boleh berkait seseorang pun dari manusia atau menyamainya seperti sabda Nabi Muhammad SAW tentang dirinya sendiri dalam sebuah hadis sahih:

"Sesungguhnya aku bukanlah seperti kelakuan kamu, Allah memberi makanan dan memberi minum kepadaku."

4. Dalam nota kaki, penulis menegaskan bahawa terdapat beberapa kewajipan tertentu yang diwajibkan kepada baginda tetapi tidak umatnya, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Shafi'e rahimahullahu ta'ala di dalam Kitab al-Umm.

5. Sedarlah, jika kita fikir Nabi SAW dan para Rasul yang lain itu hanyalah manusia biasa seperti kita, justeru kita sudah mengambil pandangan orang-orang Jahiliyah sebagaimana yang dirakamkan di dalam al-Quran.

6. Contohnya, dalam surah Hud, ayat 27 mafhumnya:

"Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: Kami tidak memandangmu (Wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami.."

7. Selain Nabi Nuh AS, demikian juga yang berlaku kepada Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS (Surah al-Mu'minun, ayat 47), Nabi Salih As (Surah al-Shu'ara', ayat 154) dan Nabi Shu'aib AS (Surah al-Shu'ara', ayat 186).

8. Tidak dilupakan, kata-kata kaum Musyrikin tentang diri Rasulullah SAW, yang memandang baginda hanya sebagai manusia biasa.

"Dan mereka pula berkata: Mengapa rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti  manusia lain)??!!"
(Surah al-Furqan, ayat 7)


9. Padahal Rasulullah SAW itu, ketika kedua-dua matanya tidur, hatinya tidak pernah tidur.

10. Rasulullah SAW itu, dapat melihat sahabat dari belakang sepertimana baginda melihat dari depan.

11. Rasulullah SAW itu, peluhnya harum seperti kasturi.

12. Dan baginda SAW itu, telah melalui perjalanan Isra' Mi'raj dengan kedua-dua roh dan jasad baginda.

13. Tidak akan habis jika ingin diceritakan kesemua keistimewaan baginda SAW. Yang pasti, baginda SAW tidak sama seperti kita dan makhluk yang lain.

14. Adapun ayat al-Quran yang berbunyi 'Aku ini manusia sepertimu' (dalam Surah al-Kahfi, ayat 18) perlu dilihat dalam konteks yang benar mengikut penjelasan para 'alim ulamak.

15. Kata mereka, ayat ini bukan ditujukan kepada kaum mukminin, sebaliknya untuk menyanggah kaum penyembah berhala yang menganggap bahawa seorang Rasul mestilah seorang Malaikat atau anak Tuhan. (Sila baca lebih lanjut di sini).

16. Kesimpulannya, marilah sama-sama kita mengambil peluang ini untuk bukan sahaja mengenali baginda SAW dengan lebih dekat, tetapi mengenali baginda SAW sepertimana baginda layak dikenali, berdasarkan pegangan Ahlu Sunnah wal Jamaah.

17. Semoga Allah SWT menyemarakkan rasa cinta dan kasih sayang kita dan ahli keluarga kita terhadap baginda SAW serta para ahlul bayt dan seluruh sahabat baginda, dan semoga kita dikumpulkan bersama mereka semua pada hari akhirat kelak. Amin. Allahumma amin.

Bersabda Rasulullah SAW mafhumnya:
"Belum sempurna iman kalian, hingga aku lebih dicintainya, dari ayah ibunya, dan anaknya dan seluruh manusia."
(Sahih Bukhari)

Wallahua'lam. Wassalamualaikum warahmatullahi wa barokaatuh.
Allahumma solli wa sallim wa baarik 'alayhi wa 'alaa aalih.

Baca Teks Penuh