Tuesday 23 December 2014

Saya dan Politik


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.


1. Dalam konteks negara Malaysia, tidakkah kita mahu umat Islam, yang majoritinya adalah bangsa Melayu untuk saling bersatu padu?

2. Adakah kita hanya akan bersatu padu apabila PAS dan UMNO bergabung sebagai sebuah parti politik?

3. Adakah penggabungan dua buah parti politik ini satu hal yang praktikal?

4. Bagaimana jika kita kata orang Islam boleh bersatu padu tanpa penggabungan sedemikian, adakah idea ini akan ditolak atas alasan bahawa ia tak praktikal?

5. Persoalan yang saya fikir di sini ialah cara pandang kita, bahawa seolah-olah sesuatu itu hanya dinilai dan ditimbang menggunakan kaca mata politik. Padahal politik hanyalah wadah, bukannya matlamat.

6. Fanatik terhadap satu parti juga satu masalah, tidak kiralah apa pun parti itu, kerajaan mahupun pembangkang. Kezaliman tidak akan dapat dihapuskan dengan kezaliman.

7. Justeru, saya jujurnya melihat slogan 'Asalkan Bukan UMNO (ABU)' itu sebagai satu slogan yang tidak tepat- bahkan jika ada slogan 'Asalkan Bukan PAS' juga tidak saya bersetuju dengannya kerana ia bersifat terlalu umum dan tidak mengkhususkan (dengan spesifik) kekurangan yang ada dalam parti, serta menafikan terus kebaikan dan kelebihan yang ada padanya.

8. Memakai kaca mata yang salah akan menjadikan kita BUTA.

9. Kaca mata yang benar pastilah agama, dan agama itu tidak diperoleh atau difahami melainkan dengan mempelajari ilmu agama.

Wallahu ta'ala a'lam.
Baca Teks Penuh

Saturday 29 November 2014

Menuduh Orang Ramai Telah Rosak


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Sebelum ini, saya ada kongsikan satu hadith di Facebook dan di blog ini (di sini), sebagai satu peringatan buat diri sendiri dan kita semua, kerana saya fikir ia sangat relevan untuk zaman sekarang yang begitu banyak terdapat pertelingkahan di dalamnya.

2. Hadithnya adalah seperti berikut:

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda ertinya:

"Jika ada seseorang berkata: "Orang ramai (sekarang ini) sudah rosak", maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka".
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

3. Izinkan saya berkongsi sedikit penjelasan 'alim ulama' mengenai hadith ini, mudah-mudahan membawa manfaat insya Allah.

4. Dalam kitab beliau, Umdat al-Salik, Ahmad ibn Naqib al-Misri rahimahullah ada mensharahkan hadith di atas yang mana "Ia (yakni hadith itu) bukan secara umum tapi merujuk khusus kepada orang yang senantiasa mencari-cari kesalahan orang."
Sumber: Sidi  Husni Mohd Amin hafizhohullahu ta'ala

(Sumber)
5. Imam Nawawi rahimahullahu ta'ala juga ada penjelasan lanjut tentang hadith ini dalam kitab beliau, Riyadhus-Shalihin yang saya dapati daripada sebuah buku bertajuk '40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman' oleh Syeikh Abu Ali al-Banjari An-Nadwi al-Maliki hafizhohullahu ta'ala.

"Imam Nawawi ra. ketika menulis hadis ini dalam kitab Riyadhus-Shalihin beliau memberikan penjelasan seperti berikut:

"Larangan semacam di atas itu (larangan berkata bahawa orang ramai telah rosak) adalah untuk orang yang mengatakan sedemikian tadi dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini adalah haram".

"Ada pun orang yang berkata seperti ini kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat nasib yang dialami oleh mereka dan timbul perasaan cemburu terhadap agama, maka perkataan itu tidak ada salahnya".

"Demikianlah yang dijelaskan oleh para ulama dan begitulah cara mereka menghuraikan permasalahannya. Di antara alim-ulama yang berpendapat begitu ialah Imam Malik bin Anas, al-Khath-thabi, al-Humaidi dan lain-lain".

6. Berkata pula Syeikh Abu Ali al-Banjari (penulis buku 40 Hadis tadi):

"Maka hendaklah hadis ini menjadi suatu peringatan kepada kita bila menghuraikan hadis-hadis akhir zaman seperti apa yang dituliskan di sini yang banyak mendedahkan tentang kemunduran umat Islam dan kemerosotan moral mereka.

Oleh kerana itu, apabila kita cuba mengaitkan hadis-hadis tersebut dengan realiti umat Islam dewasa ini, maka janganlah kita merasa bangga dan 'ujub dengan diri kita sendiri, bahkan hendaklah kita menegur diri kita masing-masing dan jangan suka menuding orang lain. Jadi, apabila kerosakan moral umat Islam dewasa ini yang diketengahkan, maka biarlah pendedahan itu di dalam bentuk yang sihat dan dengan perasaan yang penuh belas kasihan dan rasa cemburu terhadap agama, bukan dengan perasaan bangga diri dan memandang rendah kepada orang lain."

7. Wallahua'lam. Semoga bermanfaat insya Allah.
Baca Teks Penuh

Friday 28 November 2014

Usrah: Bagus ke Tak Bagus?


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Gambar hiasan (Sumber)
1. Usrah ialah perkataan Arab yang bermaksud keluarga.

2. Usrah kita yang pertama ketika kita dilahirkan ke muka bumi ialah keluarga kita, maka taatilah ibu bapa kita kerana dalam Surah al-Baqarah ayat ke-83 misalnya, selepas Allah SWT perintahkan untuk beribadah hanya kepada Allah SWT, perkara yang disebut sejurus selepas perintah ini ialah perintah berbuat baik kepada ibu bapa!

3. Anak-anak muda perlu ingat, bahawa kita dilarang pergi berjihad TANPA IZIN IBU BAPA, dan ini termasuklah menyahut seruan 'jihad' yang menggunakan nama ISIS (Islamic State of Iraq and Syria).

4. Saya akan sambung lagi tentang ISIS kemudian (di bawah nanti).

5. Sebelum saya sentuh tentang usrah, izinkan saya nukilkan beberapa nasihat dan tidak kurang juga amaran kepada anak-anak muda yang bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam aktiviti dakwah dan agama.

6. Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda ertinya:

"Jika ada seseorang berkata: "Orang ramai (sekarang ini) sudah rosak", maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka".
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Catatan: Sila rujuk huraian 'alim ulamak tentang (pemahaman sebenar) hadis ini di sini.

7. Syeikh Hamza Yusuf hafizhohullah memetik satu hadis Rasulullah SAW ertinya:

"Kebinasaan umatku akan berlaku di tangan anak-anak muda yang jahil."

8. Beliau juga menyebut, ertinya:

"Anak-anak muda (yang menggunakan) Google- mereka ini (pula yang) menguruskan agama kita. Mereka yang mengeluarkan fatwa sekarang."

9. Kalam-kalam di atas perlu difahami dan dihayati dengan baik oleh setiap anak muda, sama ada yang menyertai usrah, mahupun tidak.

10. Di negara kita amnya, dan dalam kalangan pelajar-pelajar di universiti khususnya, usrah atau 'bulatan gembira' bukanlah sesuatu yang baru atau asing.

Buku ini diterbitkan oleh Pelima Media Sdn Bhd
11. Justeru, wadah ini mesti digunakan dengan cara yang baik, dan bukan sebagai penambah kerosakan kepada kemaslahatan umat Islam.

12. Antara lain, kumpulan usrah mesti mempunyai rujukan dan sumber yang baik dalam hal perkongsian dan penyampaian ilmu, yakni para asatizah yang mahir ilmu agama.

13. Jika usrah dilaksanakan mengikut panduan akal semata-mata, atau mengikut kehendak ketua atau ahli usrah sahaja, terutama dalam soal memahami Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW, dikhuatiri ia membawa kepada kerosakan yang buruk padahnya.

14. Ahli-ahli usrah yang mengikuti usrah, atau merancang untuk mengikuti usrah, sebaiknya memerhatikan hal ini sebaiknya, dan mendapatkan pandangan mereka yang lebih 'arif.

15. Memetik nasihat Syeikh Hamza Yusuf lagi, betapa banyak kelompok-kelompok sesat di dunia ini bukanlah golongan yang meninggalkan Al-Quran dan Sunnah, tetapi mereka ini, dalam memahami kedua-dua sumber utama agama itu, telah salah faham atau salah tafsiran (kerana tiada ilmu dan kelayakan).

16. Atas faktor inilah saya menyebut tentang ISIS di atas, dan izinkanlah saya akhiri bingkisan ringkas ini dengan beberapa pautan (links) yang penting mengenainya (ISIS).

17. Pada tanggal 26 November baru-baru ini, negara kita menerusi persidangan Dewan Rakyat telah meluluskan usul 'Kertas Putih' yang bertajuk 'Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (ISIS)' yang menjelaskan tentang bahaya ISIS dan tahap ancaman kepada keselamatan negara. Rujuk di sini.

18. Dalam satu wawancara (pautan di sini) bersama-sama Mufti negeri Kelantan dan Mufti negeri Pahang, ditegaskan supaya kita tidak dipengaruhi golongan Orientalis dalam memahami istilah 'jihad' dengan fahaman sempit yakni peperangan suci atau 'Holy War' padahal konsep jihad dalam Islam sangat luas.

19. Orang-orang muda jangan cepat mengikut emosi, merasa marah dengan keadaan umat Islam di luar negara, lalu berazam mengangkat senjata, tanpa ilmu dan usul periksa, sehingga ada yang saling membunuh sesama umat Islam, atau orang-orang awam yang tidak berdosa.

20. Dalam wawancara bersama mufti tersebut, dijelaskan bahawa selain izin ibu bapa, izin daripada pemerintah juga perlu, selain BANYAK syarat-syarat lain yang mesti dipenuhi sebelum boleh keluar berjuang di jalan Allah.

21. Tiga lagi rujukan yang saya ingin syorkan adalah (i) surat terbuka kepada pemimpin ISIS daripada 126 orang 'alim ulamak serta ahli 'ilmu dari seluruh dunia yang menghuraikan 24 kesilapan ISIS, (ii) rakaman video khutbah tentang 'Krisis ISIS' oleh Syeikh Hamza Yusuf dan (iii) rakaman audio bertajuk 'What is ISIS' oleh Dr Khalid Yahya Blankinship hafizhohullahu ta'ala.


22. Sebagai penutup, berkait tentang usrah dan orang-orang muda- mesej yang cuba saya sampaikan adalah supaya kita tidak terburu-buru, sebaliknya berhati-hati dalam memahami agama kita yang indah ini.

23. Buat yang mengikuti usrah, mungkin jauh kebarangkalian untuk terjebak ke dalam aliran pemikiran yang melonggarkan syariat seperti menghalalkan perkara yang haram (contohnya minum arak) tetapi berhati-hatilah daripada tergelincir menyempitkan agama sehinggakan merasa diri lebih baik daripada orang lain, atau yang lebih ektrim, menganggap Muslim lain (awalnya sesat atau rosak, kemudian) kafir sehingga menghalalkan darah mereka. Wal 'iya zubillah.

Wamaa taufiqi illaa billaah. Wallahua'lam.

P/S: Artikel ini cuba dikupas seringkas boleh, dan bukan berniat menidakkan kepentingan usrah. Sebaliknya, dibangkitkan beberapa isu yang penulis rasakan relevan dan perlu diambil perhatian. Mohon teguran di mana ada kesilapan. Jazakumullahu khayran kasira.
Baca Teks Penuh

'To the Muslim Youth'


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Gambar di bawah didapati daripada muka surat awal buku 'Islam and Secularism' oleh Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas hafizhohullahu ta'ala.

2. Buku ini sudah lama ditulis dan telah diterbitkan pada tahun 1978, ketika saya belum lahir lagi ke dunia ini.

3. Setiap Muslim mesti memiliki buku ini dan mengkaji isi kandungannya insya Allah. 

4. Saya juga telah mengarang satu puisi ringkas sebagai meraikan amanat beliau kepada orang-orang muda:

"Beliau tulis 'to the Muslim youth', 
Ketika aku masih di alam ruh,
1978 itu sungguh jauh,
Namun ideanya masih utuh!"
-8 Rejab 1435 Hijriah

(Sumber)
Wallahua'lam.
Baca Teks Penuh

Sunday 23 November 2014

Keistimewaan Nabi SAW


Bismillahirrahmanirrahim.

(Sumber)
1. Sudah luput dari fikiran saya siapakah orangnya (mungkin Syeikh Hamza Yusuf hafizhohullah) tapi saya pernah mendengar bahawa beliau menyebut salah satu mukjizat Nabi Muhammad SAW adalah bahawa sepanjang sejarah tidak pernah wujud golongan yang sesat yang membawa ajaran bahawa Nabi SAW adalah Tuhan.

2. Namun, ada Rasul lain yang dianggap Tuhan, seperti Nabi Isa AS yang dianggap Tuhan oleh kaum Nasrani.

3. Daripada kalangan sahabat, Saidina 'Ali karromallahu wajhah dianggap Tuhan oleh sesetengah firqah Shi'ah.

4. Daripada orang awam, ada yang mengaku diri sendiri menjadi Tuhan.

5. Orang Yahudi menjadikan sapi betina sebagai sembahan.

6. Berhala, bulan, bintang, matahari bahkan pokok dan api ada yang disembah dan dianggap Tuhan.

7. Bahkan al-Quran menyebut tentang ada orang yang menjadikan NAFSU sebagai Tuhan wal 'iyazubillaah.

8. Tapi Nabi SAW terselamat daripada kesesatan ini - sollu 'alan nabiyy!

9. DUA kalimah shahadah yang menjadi tonggak aqidah kita menggandingkan ke-Esaan Allah SWT dengan kerasulan Nabi SAW- DUA kalimah, bukan satu!

10. Terdapat juga dalam nas yang menggunakan kalimah Arab 'Huma'- yakni kata ganti nama yang merujuk kepada 'mereka berdua' yang menggandingkan Allah SWT dan Nabi SAW, bahkan dalam Al-Quran kita diperintahkan untuk ta'at kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. 

11. Gandingan ini menunjukkan keistimewaan Nabi SAW sebagai seorang manusia biasa tetapi tidak sama seperti manusia lain- dan umat Islam amat faham tentang hal  ini.

12. Demikian juga hadis tentang Nabi SAW sendiri menjawab selawat salam kita pada setiap hari Jumaat- yang menjadi salah satu dalil bahawa Nabi SAW masih hidup di dalam kuburnya- keistimewaan Nabi SAW ini jika tidak difahami dengan baik boleh menyebabkan kita menuduh orang lain sebagai menganggap Nabi SAW itu Tuhan (kerana Nabi SAW masih hidup)?

13. Mesej saya yang jahil lagi faqir ini adalah untuk kita berhati-hati daripada terjebak menuduh umat Islam lain syirik- hanya kerana kita tidak faham kedudukan Nabi SAW yang sebenar.

Wallahua'lam.

Ya Hanana.. Beruntungnya kita menjadi umat Nabi Muhammad SAW! 

Allahumma solli wa sallim wa baarik 'alayhi wa 'alaa aalih :-)
Baca Teks Penuh

Thursday 20 November 2014

Kenapa Perlu Belajar Agama?


Bismillahirrahmanirrahim.

Syeikh Musa Furber hafizhohullahu ta'ala (sumber)
1. Berikut ialah satu terjemahan Bahasa Melayu kepada jawapan (ringkas) untuk persoalan 'Kenapa kita perlu belajar agama?'  yang dijawab oleh Syeikh Musa Furber hafizhohullah di laman web (Bahasa Inggeris) beliau di sini.

2. Pada hemah saya, jika dibaca berulang-ulang kali jawapan beliau, dengan teliti dan berhati-hati, kita akan dapati terkandung di dalam jawapan ini hal-hal yang mendasar (fundamental) tentang Islam, dan jika difahami dengan baik, kemudian dipegang dengan teguh, akan membantu kita menghadapi cabaran serta serangan musuh-musuh Islam- sama ada dari dalam mahupun dari luar.

Soalan:
Kenapa perlu belajar agama?

Jawapan: 

"Tuhan mencipta kita untuk menyembah-Nya.

Dia mahu kita menyembah-Nya dengan cara tertentu yang layak bagi-Nya, yakni zat-Nya, sifat-Nya dan perbuatan-Nya, serta yang diredhai-Nya.

Dia telah mewahyukan cara-cara ibadah yang layak serta diredhai-Nya melalui ramai para Nabi dan para Rasul 'alaihissalam.

Kita sebagai umat Islam berpegang bahawa al-Quran adalah wahyu terakhir dan Muhammad bin 'Abdullah adalah Rasul terakhir, dan Islam adalah wahyu terakhir yang memansukhkan segala-galanya yang datang sebelumnya dan Islam tak akan sesekali dimansukhkan.

(Agama) Islam mencakupi soal kepercayaan (aqidah), ritual ('ibadah), dan interaksi sosial (mu'amalah).

Mematuhi keseluruhan aspek (aqidah, 'ibadah, mu'amalah) ini adalah apa yang dimaknai dengan menyembah (ber'ibadah kepada) Tuhan.

Menyembah Tuhan sebagaimana yang Dia mahu memerlukan ILMU, dan ilmu memerlukan pembelajaran (menuntut ilmu).

Inilah sebab mengapa perlunya belajar agama kepada siapa jua yang mahu menyembah Tuhan dengan keyakinan bahawa kita menyembah-Nya sebagaimana yang Dia perintahkan kita untuk menyembah-Nya."

Wallahua'lam. 
Baca Teks Penuh

Monday 10 November 2014

Amina Wadud dan Sisters In Islam (SIS)


Bismillahirrahmanirrahim.

Gambar muka depan daripada artikel rujukan yang sudah saya cetak (sumber foto)
Untuk salinan (soft copy) sila tekan tajuk artikel di bawah.

1. Sebahagian golongan feminist (pejuang hak wanita?) yang menolak hadis dan hanya mahu pegang al-Quran sedar tak bahawa orang-orang yang memukul wanita (isteri) mereka sebenarnya menjustifikasi perbuatan mereka hanya melalui ayat al-Quran padahal dalil yang paling kuat dan membantah perbuatan memukul isteri boleh didapati daripada hadis? Masih nak tolak hadis?

2. Amina Wadud bertanggungjawab terhadap penubuhan SIS. Jika kita kenal siapa Amina Wadud dan fahaman yang dibawanya, kita tahu apa yang kita ingkari terhadap SIS.

3. Ya, wanita itu daripada tulang rusuk lelaki. Tetapi bukanlah bermakna wanita itu lemah (sub-human) sebaliknya merekalah yang memelihara kaum lelaki sepertimana tulang rusuk melindungi jantung yang merupakan organ penting dalam badan kita.

4. Atas sebab itu, kaum Adam mesti melindungi kaum Hawa, kerana tanpa kaum Hawa, kaum Adam tidak terlindung!

5. Kekuatan umat ini terletak pada kaum wanita juga, maka wahai kaum wanita, berwaspadalah kerana musuh Islam sudah lama mengintai peluang merobohkan kekuatan umat dengan cara merosakkan kaum wanita.

6. Kalimah umat itupun datang daripada kalimah 'um' yang bererti ibu (wanita).

7. Dan rahim (women's womb), yang hanya ada pada kaum wanita, adalah nama yang berkait rapat dengan nama Allah SWT yang paling banyak disebut, yakni al-Rohman dan al-Rohim.

Wallahuaklam.

Demikian sedikit catatan dan perkongsian selepas membaca sebuah artikel berbahasa Inggeris bertajuk 'An Innovation of Misguidance: Amina Wadud's Unenlightened Feminism' oleh GF Haddad Ramadan.
Baca Teks Penuh

Wednesday 5 November 2014

Kebaikan Kecil yang Besar


Bismillahirrahmanirrahim.

"Buatlah kebaikan, walaupun sekecil menyelamatkan seekor semut daripada lemas ketika kita ingin mandi di bilik air."

1. Demikianlah mafhum pengajian tentang asmaul husna (al-Alim- Allah SWT Maha Mengetahui) di PPAS, Seksyen 13, Shah Alam bersama-sama Ustaz Muhamad bin Abdullah al- Amin tadi.

2. Allah SWT pasti tahu dan memberi ganjaran kepada sekecil-kecil kebaikan pun.

3. Pernah saya terbaca kisah Imam al-Hassan al-Banna yang turut menyusun kerusi selepas selesai memberi ceramah.

4. Lalu apabila ditanya orang, beliau menjawab, "Aku tak tahu amalan mana yang Allah SWT terima (yakni sama ada ceramahnya atau menyusun kerusinya)!"

-12 Muharram 1436 Hijrah, bersamaan 5 November 2014

Allahumma solli wa sallim wa baarik 'alayhi wa 'alaa aalih ;-)

P/S: Laman web Ustaz Muhamad bin Abdullah al-Amin boleh dicapai di sini.

Gambar kenang-kenangan bersama penceramah,
Ustaz Muhamad bin Abdullah al-Amin selepas tamat pengajian
Baca Teks Penuh

ISIS dan Fiqh al-Jihad


Bismillahirrahmanirrahim.

1. Lebih 126 mufti, 'alim ulama' dan golongan intelektual dari seluruh dunia telah menandatangani satu surat terbuka (dengan penjelasan lengkap) MENENTANG ISIS dalam pelbagai bahasa (boleh muat turun di sini).

2. Tidak lupa juga satu khutbah Jumaat oleh Syeikh Hamza Yusuf hafizhohullahu ta'ala yang boleh didapati daripada Zaytuna College You Tube channel bertajuk 'The Crisis of ISIS: A Prophetic Prediction'.

3. Saya mohon pendirian ini terus disebarkan kepada terutamanya anak-anak muda dengan diingatkan akan sabda Nabi SAW, "Kemusnahan umatku akan berlaku di tangan anak-anak muda yang bodoh."

4. Nabi SAW telah berpesan tentang puak Khawarij semasa hayat baginda lagi. Para sahabat seperti Saidina Abu Bakr al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab radhi-Allahu 'anhum pun terkejut melihat banyaknya ibadat puak-puak Khawarij ini, apatah lagi kita- jangan mudah tertipu dengan apa yang zhahir daripada mereka.

5. Kita tak sepatutnya keliru dalam hal ini. 

6. Jika kita keliru, maka belajarlah agama- dan tiadalah belajar agama itu hanya daripada Google- nescaya bertambah keliru.

7. Carilah ikatan ilmu yang bersanad dan bersambung kepada Sayyidina Nabi SAW!

Wallahua'lam. Wamaa taufiqi illaa billaah..

Syeikh Hamza Yusuf Hanson (sumber)
Baca Teks Penuh

Tuesday 4 November 2014

Pluralisme Agama


Bismillahirrahmanirrahim.

1. Saya menyokong penuh keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang telah mewartakan fatwa pengharaman NGO Sisters In Islam (SIS) pada 17 Julai 2014 yang lalu kerana menyebarkan fahaman Liberalisme dan Pluralisme yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

2. Para 'alim ulama' (melalui dakwah dan karya mereka) sudah banyak berbicara tentang kecelaruan fahaman dan pembawa fahaman ini. Justeru, baik juga saya kongsikan antara yang boleh kita semua rujuk seperti berikut.

3. Pertama, sebuah buku bertajuk Islam dan Pluralisme Agama hasil kajian dan penulisan Associate Professor Khalif Muammar dan juga artikel (dalam format pdf) lebih ringkas bertajuk Pluralisme dan Kesatuan Agama (oleh penulis yang sama) di sini.


4. Berikut pula adalah petikan yang saya temui di laman Facebook yang menjelaskan kaitan antara SIS dengan fahaman Liberalisme dan Pluralisme.

Pada 28 Julai 2005, Majelis Ulama Indonesia (MUI) telah mewartakan pengharaman Islam Liberal melalui tiga istilah yang diharamkan dikaitkan dengan Islam Liberal iaitu “Pluralisme”, “Sekularisme” dan “Liberalisme”. Majelis Ulama Indonesia (2010: 96-97) tidaklah mengharamkan Islam Liberal berdasarkan istilah “Islam Liberal” tetapi lebih cenderung mengaitkan pengharamannya melalui empat istilah iaitu:

1. Pluralisme agama adalah suatu paham yang mengajarkan bahwa semua agama adalah sama dan karenanya kebenaran setiap agama adalah relatif; oleh sebab itu, setiap pemeluk agama mengklaim bahwa hanya agamanya saja yang benar sedangkan agama yang lain adalah salah. Pluralisme agama juga mengajarkan bahwa semua pemeluk agama akan masuk dan hidup berdampingan di surga.

2. Pluralitas agama adalah sebuah kenyataan bahwa di negara atau daerah tertentu terdapat berbagai pemeluk agama yang hidup secara berdampingan.

3. Liberalisme agama adalah memahami nas-nas agama (Al-Quran & Sunnah) dengan menggunakan akal pikiran yang bebas; dan hanya menerima doktrin-doktrin agama yang sesuai dengan akal pikiran semata.

4. Sekularisme agama adalah memisahkan urusan dunia dari agama; agama hanya digunakan untuk mengatur hubungan peribadi dengan Tuhan, sedangkan hubungan sesama manusia diatur hanya dengan berdasarkan kesepakatan sosial.

Manakala mengenai Sister in Islam yang terbabit dengan idea Liberalisme dan Pluralisme sudah banyak dikupas oleh ahli akademik di Malaysia. Antaranya:

1. Marzuki (2009: 160-173) mengaitkan golongan liberal dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti SIS, Artikel 11, Majlis Peguam dan pertubuhan bukan Islam seperti Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism (MCCBCHS). 

2. Mohamad Kamil (2011: 252) menyenaraikan golongan Liberal di Malaysia adalah Kassim Ahmad, Ahmad Faris Mohd Noor, Institut Kajian Dasar (IKD), Sisters In Islam (SIS), Jemaah al-Quran Malaysia dan Middle Eastern Study Group. 

3. Mohamad Ariffin (2012: 11) menyebut hanya Sister in Islam (SIS) sahaja kumpulan yang mempunyai idea Islam Liberal di Malaysia kerana SIS menyeru kepada persamaan hak antara wanita dan lelaki di samping mempromosikan demokrasi dan kebebasan. 

4. Indriaty (2013: 106) pula menyimpulkan bahawa SIS memenuhi ciri-ciri dan asas-asas Islam Liberal dan pemikiran SIS merupakan aliran feminisme dari kerangka Islam Liberal. 

Nama saya sebut di atas adalah sedikit dari sekian banyak pandangan mengenai SIS. Sudah sampai masanya pengharaman SIS disebut dengan jelas sebagaimana telah diwartakan oleh MAIS dan ditandatangani oleh Mufti Selangor.

Sebarkan untuk manfaat umat Islam.

5. Semoga bermanfaat. Dan kejayaan serta taufiq itu hanya milik Allah jalla wa 'ala.
Baca Teks Penuh

Pesan Buat Pemimpin


Bismillahirrahmanirrahim.

1. Berkata Imam Hasan al-Basri rahimahullahu ta'ala mafhumnya:

"Jika tiada ulamak, maka samalah manusia dengan haiwan."

2. Dalam satu rakaman video di sini, Syeikh Sya'rawi rahimahullahu ta'ala telah memberi nasihat cukup berani dan mendalam kepada pemimpin khususnya Presiden Hosni Mubarak yang boleh difahami seperti berikut:

"Wahai Tuan Presiden, aku ingin katakan satu perkara kepada engkau. 

Mungkin ini adalah pertemuan terakhir aku dengan engkau!

JIKA NASIB KAMI BERGANTUNG KEPADA ENGKAU, MOGA-MOGA ALLAH MEMBERI TAUFIQ (MENUNJUKKAN KEPADA KAMU JALAN YANG BENAR).

DAN JIKA NASIB KAMU BERGANTUNG KEPADA KAMI, MOGA-MOGA ALLAH MENOLONG KAMU UNTUK MENANGGUNG BEBAN (UNTUK MENGHADAPI KAMI)!

Catatan saya:

3. Kekuasaan itu boleh diberikan oleh Allah SWT sama ada kepada orang yang Dia redhai atau juga kepada orang yang Dia murkai.

4. Justeru, jika kita fikirkan kemenangan Islam itu hanya terletak pada kekuasaan sehingga kita bergaduh, saling berpecah untuk mendapatkan kekuasaan itu, dan dalam masa yang sama kita membelakangkan nasihat para 'alim ulama', fikirkanlah semula (tentang kebenaran perbuatan kita itu).

Wallahua'lam. Wa maa taufiqi illaa billaah.

Syeikh Muhamad Mutawalli al-Sya'rawi
Beliau meninggal pada tahun 1998
(sumber)


Baca Teks Penuh

Monday 3 November 2014

Kedudukan Ulama'


Bismillahirrahmanirrahim.

Rumah Syeikh Murabit al-Hajj di Mauritania.
Beliau merupakan guru kepada Syeikh Hamza Yusuf Hanson.
Gambar ini diambil pada tahun 1997 oleh Sidi Mustafa Davis (sumber)

Allah SWT berfirman mafhumnya:

"Allah mengangkat orang yang beriman daripada kamu dan orang-orang yang diberi kefahaman ilmu-Nya beberapa darjat."
(Surah al-Mujadalah, ayat 11)

"Adakah sama kedudukan orang yang mengetahui itu dengan orang-orang yang tidak mengetahui?"
(Surah al-Zumar, ayat 9)

"Sesungguhnya yang benar-benar takut akan Allah daripada hamba-hamba-Nya hanyalah para ulama."
(Surah al-Fathir, ayat 28)

M/S 51, Martabat Ilmu dan Ulama karangan Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.

Terjemahan oleh Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman al-Hafiz.

Catatan saya:

1. Ramai antara kita anak-anak muda sekarang yang terjun ke dalam bidang dakwah.

2. Hal ini adalah sangat baik, namun perlulah kita faham peranan, kedudukan dan kemampuan kita supaya kita mampu menyumbang manfaat, dan bukannya menambah masalah dan konflik dalam usaha membangunkan ummah.

3. Cukuplah sekadar saya nukilkan terjemahan kalam Syeikh Hamza Yusuf hafizhohullahu ta'ala yang berbunyi: "Orang-orang muda di Google- Inilah golongan yang menguruskan agama kita. Merekalah yang mengeluarkan fatwa (zaman) sekarang."

4. Demikian juga pesan Rasulullah SAW mafhumnya, "Kemusnahan umatku akan berlaku di tangan anak-anak muda yang jahil."

5. Semoga saya dan kita semua dapat mengambil pelajaran. Wallahua'lam.
Baca Teks Penuh

Puasa Hari Ashura


Bismillahirrahmanirrahim.

"Sewaktu Rasulullah SAW datang ke Madinah, baginda SAW mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Ashura (10 Muharram). Baginda SAW bertanya kepada mereka kenapa mereka berpuasa, lalu mereka menjawab bahawa pada hari itulah Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa AS dan pengikutnya serta menenggelamkan Fir'aun dan pengikutnya.

Nabi Musa AS berpuasa sebagai tanda syukur kepada Allah SWT dan pengikutnya terus mengamalkan puasa ini selepas Nabi Musa AS.

Nabi Muhammad SAW kemudian memberitahu orang Yahudi bahawa umatnya lebih dekat (layak mengikuti) Nabi Musa AS berbanding mereka.

Lantas Rasulullah SAW pun turut berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan para sahabat untuk berpuasa juga...."

Masjid Nabawi di Madinah al-Munawwarah (sumber)
Catatan saya:

1. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, antara ganjaran berpuasa pada hari Ashura ialah dihapuskan dosa setahun yang lepas.

2. Imam Muslim juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bahawa puasa yang paling afdhal selepas puasa Ramadhan ialah puasa dalam bulan Muharram.

3. Bagi membezakan amalan kita dengan orang Yahudi, umat Islam dianjurkan berpuasa pada 9 dan 10 Muharram (hari Ashura) atau pada 10 dan 11 Muharram, yakni berturutan 2 hari, kerana orang Yahudi hanya berpuasa sehari, pada 10 Muharram.

4. Banyak peristiwa besar yang berlaku pada tarikh ini, antaranya ialah Allah SWT mengampunkan Nabi Adam AS pada hari ini, bahtera Nabi Nuh AS akhirnya berlabuh di gunung yang bernama al-Judi selepas selama 6 bulan di lautan dan Nabi Yunus AS juga mendapat keampunan Allah SWT pada 10 Muharram.

5. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita yang lepas dan juga memberi kita kekuatan untuk menjauhi perkara haram dan melaksanakan yang wajib hingga akhir hayat kita. Amin.

Wallahua'lam.

Untuk pembacaan lanjut, sila rujuk artikel berbahasa Inggeris bertajuk 'The Day of Ashura' di laman web Muwasala di sini.
Baca Teks Penuh

Sunday 2 November 2014

Puisi: Sufasta'iyyah


Bismillahirrahmanirrahim.

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (sumber)

SUFASTA'IYYAH

Oleh: Encik Md. Asham Ahmad 

"Puak inadiyyah puak yang degil;
Semua hakikat khayalan batil;
Puak inilah yang paling jahil;
Kalau berjumpa pasti kubedil.

Puak kedua tak kurang bebal;
Puak indiyyah patut kau kenal;
Semua kebenaran mereka sangkal;
Hanya pendapat yang tidak kekal.

Puak ketiga nama la adriyyah;
Bila ditanya jawabnya entah!;
Mereka ini ragu tak sudah;
Tiada pegangan, tiada akidah.

Semua mereka pengengkar ilmu; 
Memang terkenal dari dahulu;
Kusebut semula dalam postingku;
Mudah-mudahan semua tahu."

Nota kaki:


1. Sebagai pengenalan kepada golongan sufasta'iyyah, yang merupakan musuh Islam yang amat bahaya ini, silalah rujuk satu artikel bertajuk 'Sumber Ilmu dalam Islam dan Golongan Sufasta'iyyah' di laman web Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) di sini.

2. Encik Md. Asham Ahmad adalah salah seorang murid Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas hafizhohumullahu ta'ala.

3. Sila rujuk juga penerangan ringkas Ustaz Zulkifli Ismail hafizhohullah dari Pondok Baitul Qurro' wan Fuqoha' tentang hal yang sama di sini.
Baca Teks Penuh

Hikmah- Sifat Yang Utama


Bismillahirrahmanirrahim.

"Dalam tradisi ilmu Islam, hikmah, seperti yang dihuraikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, merujuk kepada "pengetahuan mengenai tempat letak duduk sesuatu yang benar" dan ia merupakan salah satu daripada ibu kepada segala sifat keutamaan (ummahat al-fadha 'il) yang amat berkait rapat dengan prinsip keadilan."

M/S 153, Akidah dan Pemikiran Islam: Isu dan Cabaran

Dr Mohd Farid Mohd Shahran

Baca Teks Penuh

Akibat Meninggalkan Ulamak


Bismillahirrahmanirahim.

1. Telah bersabda Nabi SAW, mafhumnya:

"Pada akhir zaman, apabila kita meninggalkan dan membenci para ulama' dan fuqaha', justeru akan ditimpa tiga bala.

PERTAMA: Hilangnya keberkatan.
KEDUA: Akan naik pemimpin yang zalim memerintah kita.
KETIGA: Akan mati dengan tiada iman.

2. Kita memohon perlindungan Allah SWT daripada akhlak yang buruk terhadap 'alim ulamak dan semoga dengan itu kita dijauhkan sejauh-jauhnya daripada ketiga-tiga bala tersebut insya Allah.

Wallahua'lam. 

Gambar kenangan penulis bersama-sama Tuan Guru Haji Awang Lanai,

Mudir Pondok Parit Panjang, Baling, Kedah (sumber)
Baca Teks Penuh

Keberkatan Waktu


Bismillahirrahmanirrahim.

"Apabila engkau merancang pekerjaanmu dan menyusun waktumu pasti engkau akan melihat keberkatan daripada setiap waktumu yang sangat berharga itu.

Tetapi jika engkau biarkan dirimu tidak teratur atau kosong daripada sebarang pekerjaan yang berfaedah seperti halnya binatang dan engkau tidak tahu apakah yang mesti engkau buat pada setiap waktu, nescaya engkau akan menyesal dan waktumu akan berlalu dengan sia-sia, sedangkan WAKTUMU ITU ADALAH UMURMU."

M/S 74, Kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam al-Ghazali Hujjatul Islam.

Terjemahan ke dalam Bahasa Melayu oleh Abu Ali al-Banjari An Nadwi (Ahmad Fahmi Zam Zam).

Baca Teks Penuh

Cadangan Pembacaan


Bismillahirrahmanirrahim.

"Antara bahan-bahan tambahan untuk mengukuhkan lagi silibus usrah, khasnya di kalangan inteligensia adalah seperti berikut:

i. Major Themes of the Quran oleh Fazlur Rahman

ii. History of Muslim Philosophy oleh M.M Sharif

iii. Towards a New Methodology for Qur'anic Exegesis oleh Ismail Faruqi

iv. Ulum al-Qur'an oleh Ahmad von Denffer

v. The Structure of Ethical Terms in the Qur'an oleh Izutsu

vi. God and Man in the Qur'an oleh Izutsu

vii. A-Ghazzali's Jewels of the Qur'an oleh Muhammad Abu Quasem

viii. Al-Shafi'i Risalah (Terj. Majid Khadduri)

ix. Early Development of Islamic Jurisprudence oleh Ahmad Hasan

x. Shah Wali Allah Hujjatul al-Balighah, vol 1 (Terj. M. Hermensen)

xi. Abu Hasan al-Asha'ri Maqalat al-Islamiyyin (Terj. Macarthy)

xii. Abu Hanifa Fiqh Akhbar (Dalam Muslim Creed oleh AJ. Wensinck)

xiii. Al-Ghazzali Book of Knowledge (Terj. N.A. Faris)

xiv. Ibn Hazm Maratib al-Ulum (Terj. Anwar Chejne)

xv. Ibn Khaldun Muqqadimah (Terj. Resenthal/N. J Dawood)

xvi. Ibn Taymiyah Al-Hisbah (Terj. Mukhtar Hul-land)

xvii. Ibn Taymiyah Siyasah Syariyyah (Terj. Umar Farouk)

xviii. Abu Yusuf Kitab al-Kharaj (Terj. Abid A. Ali)

xix. Nizam ul Mulk al-Tusi Siyar al-Mulk (Terj. H. Dreke)

xx. Umar The Great oleh Shibli Nu'mani

xxi. Reconstruction of Religious Thought in Islam oleh M. Iqbal

xxii. Ibn Ishaq Sirat al-Rasul (Terj. A. Guillmaune)

xxiii. Tabaqat Ibn Saad (Terj. Moin al-Haq)

xxiv. Legal Philosophy of al-Shatibi oleh M. Khalid Masud

xxv. Science and Civilization in Islam oleh S.H. Nasr

xxvi. dan banyak lagi dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu/Indonesia"


M/S 170-171, Rihlah Ilmiah Wan Mohd Nor Wan Daud, Dari Neomodernisme ke Islamisasi Ilmu Kontemporer

Editor: Dr. Adian Husaini


Baca Teks Penuh

Saturday 1 November 2014

Berfikiran Besar


Bismillahirrahmanirrahim.

Associate Professor Khalif Muammar (sumber)
"Ketika akal fikiran seseorang itu tidak didedahkan dengan perkara-perkara yang besar, perkara kecil akan tampak besar baginya, dan perkara besar akan tampak kecil baginya.

Perkara besar diperkecilkan dan perkara kecil diperbesarkan.

Khas untuk para mahasiswa dan penuntut ilmu di menara gading:

Tuntutlah ilmu daripada guru-guru yang besar (seperti Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas), agar akal fikiranmu mengetahui perkara-perkara yang besar dan persoalan-persoalan yang besar. 

Jangan terlalu selesa dengan guru-guru yang hanya membincangkan perkara-perkara yang kecil dikhuatiri akal fikiranmu juga menjadi picik dan sempit."

Associate Professor Khalif Muammar
Center for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (CASIS)

Nota kaki: Kurungan di atas adalah tambahan saya
Baca Teks Penuh

Tidak Wajib MENDAPAT Ilmu


Bismillahirrahmanirrahim.

"Menuntut ilmu adalah fardhu (ain) ke atas setiap orang Islam lelaki dan perempuan."
(Hadis Nabi SAW)

M/S 3, Fasal 1 Kitab Ta'lim Muta'alim Thoriqo al-Ta'allum (Mengajar Pelajar Cara Belajar) karangan Syeikh Zarnuji dan disyarahkan oleh Syeikh Ibrahim bin Ismail.

Terjemahan ke dalam Bahasa Melayu oleh Ustaz Abdul Ghani Jabal Maraqy.

Buku yang saya rujuk ini diterbitkan Jabal Maraqy Enterprise di bawah tajuk 'Panduan Belajar Menurut Kaedah Islam'.

Catatan saya:

1. Para 'alim ulamak mensyarahkan bahawa hadis ini menyebut tentang kewajipan MENUNTUT ilmu, bukannya kewajipan MENDAPAT ilmu.

2. Hal ini bermaksud, ilmu itu (seperti hidayah) adalah hak milik mutlak Allah SWT dan dialah yang menganugerahkannya kepada siapa jua yang dikehendaki-Nya.

3. Pendek kata, orang yang tinggi intelek, hebat guru-gurunya, kondusif tempat belajarnya, sempurna kitab-kitab yang ditela'ahnya dan mempunyai semua yang diperlukan untuk mendapat ilmu, tidak akan mendapat ilmu melainkan jika Allah SWT mengizinkan.

4. Justeru, kita dinilai berdasarkan usaha (menuntut ilmu), manakala hasil (mendapat ilmu) itu terserah kepada Allah SWT.

5. Pastinya, Allah SWT yang Maha Pemurah akan memberi kepada siapa yang berusaha, bahkan kerana kemurahan-Nya, Dia memberi lebih banyak walaupun kita tak layak.

6. Ringkasnya, apa jua yang wajib, maka jika ditinggalkan berdosa, dan jika dilaksanakan mendapat pahala.

7. Dalam hal ini, berdosanya kita adalah jika tidak berusaha menuntut ilmu, bukannya berdosa jika tidak mendapat ilmu, kerana sekali lagi diulang, kewajipan yang disebut dalam hadis (di atas) ialah MENUNTUT ilmu, bukannya MENDAPAT ilmu.

Wallahu ta'ala a'lam.

Gambar hiasan (Sumber)
Baca Teks Penuh

Friday 31 October 2014

Niat Mencari Ilmu


Bismillahirrahmanirrahim.

....."Seandainya engkau berniat dengan mencari ilmu ini untuk berlumba-lumba dan mendapatkan kemegahan dan terkemuka di kalangan kawan-kawan dan untuk menarik perhatian orang ramai terhadap dirimu dan menghimpunkan akan kekayaan dunia, maka sebenarnya engkau telah berusaha MENGHANCURKAN AGAMAMU dan MEMBINASAKAN DIRIMU SENDIRI dan MENJUAL AKHIRATMU untuk mendapatkan harta dunia, maka perjualanmu adalah RUGI, dan perniagaanmu PORAK PERANDA..."

M/S 13, Muqaddimah Kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam al-Ghazali Hujjatul Islam.

Terjemahan ke dalam Bahasa Melayu oleh Abu Ali al-Banjari An Nadwi (Ahmad Fahmi Zam Zam).

Baca Teks Penuh